SPM 2024: Semangat Pelajar Luar Bandar Terus Menyinar

TAWAU – Persepsi bahawa pelajar luar bandar sukar untuk bersaing dengan rakan-rakan di bandar semakin terhakis apabila seramai 70 orang pelajar cemerlang SPM dari seluruh kawasan Parlimen Kalabakan diraikan dalam Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM 2024 yang berlangsung dengan penuh penghargaan dan semangat.

Majlis tahunan yang diadakan ini bukan sekadar satu bentuk penghargaan, malah menjadi lambang kejayaan kolektif antara pelajar, ibu bapa, guru dan komuniti setempat dalam memastikan kecemerlangan akademik terus dicapai walaupun dalam keadaan serba mencabar di kawasan luar bandar.

Ahli Parlimen Kalabakan, YB Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy yang hadir merasmikan majlis tersebut menyatakan rasa bangga terhadap peningkatan jumlah pelajar cemerlang saban tahun. Menurut beliau, jumlah penerima anugerah meningkat daripada 40 orang pada tahun 2022, kepada 69 orang pada tahun 2023, dan kini 70 orang pada tahun 2024, menandakan trend peningkatan yang positif dan konsisten.

“Ini menunjukkan isyarat yang baik. Ia bukti bahawa pelajar-pelajar di kawasan Kalabakan mampu mencipta kejayaan walaupun bersekolah di luar bandar,” ujar beliau dalam ucapannya.

Tambah beliau, kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa kerjasama kukuh antara pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat. YB Datuk Andi turut menzahirkan harapan agar momentum kecemerlangan ini diteruskan hingga ke peringkat pengajian tinggi. Sekaligus melahirkan generasi muda yang mampu kembali ke kampung halaman untuk menyumbang kepada pembangunan setempat.

“Saya mahu anak-anak muda kita pulang suatu hari nanti, membawa ilmu, tenaga dan fikiran untuk memajukan Kalabakan,” katanya penuh harapan.

Akademi Bola Sepak Tawaukini

Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah

Pelajar Tidak Terus Ketinggalan

YB Datuk Andi turut menekankan tentang keperluan memperkasa kemudahan pendidikan luar bandar. Khususnya dari segi infrastruktur digital, agar pelajar tidak terus ketinggalan dalam dunia pembelajaran abad ke-21.

“Walaupun sekolah-sekolah kita dalam keadaan yang baik, masih banyak keperluan yang perlu ditingkatkan terutama dari segi capaian internet dan kemudahan digital. Pelajar luar bandar juga berhak mendapat akses pendidikan yang sama dengan pelajar di bandar,” tegas beliau.

Antara sekolah yang mencatat pencapaian membanggakan dalam keputusan SPM 2024 ialah SMK Wallace Bay dan SMK Kalabakan. Masing-masing mencatat dua orang pelajar memperoleh semua A (Straight A’s). Ini sekaligus membuktikan bahawa lokasi geografi bukan penghalang kejayaan.

“Seperti yang saya nyatakan, subjek yang diambil pelajar luar bandar sama sahaja dengan pelajar bandar. Bezanya hanya tempat. Jurang pendidikan itu yang perlu kita kurangkan,” jelas beliau.

Majlis ini diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan dan hadiah kepada para pelajar, serta motivasi agar mereka terus melangkah ke hadapan. Suasana majlis cukup meriah dengan kehadiran para ibu bapa, guru serta barisan pemimpin tempatan yang memberi sokongan padu.

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *