TAWAU – Pengumuman bahawa Tawau Carparks Sdn Bhd (TCP) tidak lagi beroperasi bermula 1 Januari 2026, dengan pengambilalihan penuh pengurusan parkir oleh Majlis Perbandaran Tawau (MPT), telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warga netizen, khususnya berkaitan kadar caj parkir baharu yang diumumkan.
Menerusi makluman rasmi, MPT kini melaksanakan Sistem Smart Parking sepenuhnya, dengan kadar baharu termasuk parkir rezab Petak Putih berharga RM500 sebulan, Petak Kuning 48 sen sejam dan Petak Merah RM3.18 sejam. Turut dimaklumkan, kemudahan Monthly Seasonal Ticket (MST) bagi Petak Kuning telah dimansuhkan.

Namun, pengumuman tersebut mendapat perhatian ramai apabila sebahagian pengguna menyuarakan kebimbangan mengenai kenaikan kadar letak kenderaan, khususnya bagi mereka yang bekerja di kawasan bandar.
Seorang pengguna media sosial, Lea, mempersoalkan kenaikan mendadak kadar parkir rezab.
“Parking putih naik RM500? Dulu di Fajar Kak Lea bayar RM106 sebulan,” katanya.
Baca Juga : Mayat Lelaki di Temui Di Batu 15
Nada sama turut disuarakan oleh Hariani Shahfdal yang menyifatkan kadar baharu itu membebankan pekerja harian di bandar.
“Kalau kita kerja di bandar, mana rasa bayar parking… bagus naik teksi pergi bandar kalau begini cas parkingnya,” katanya.
Sementara itu, Khairul Asyraf turut meluahkan rasa terkejut dengan peningkatan kadar parkir bulanan.
“Sebelum ini parking bulanan RM50++ saja. Tahun depan jadi RM150++… like seriously? Bukan alang-alang naik harganya,” katanya dalam satu komen.
Selain itu, terdapat juga pengguna yang mempersoalkan rasional di sebalik kadar baharu tersebut, dengan sebahagian netizen bertanya sama ada ia selari dengan kemampuan majoriti rakyat, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Tawau Carparks Kutip Bayaran Parkir Sebelum 1 Januari 2026
Dalam pada itu, pihak berkuasa memaklumkan bahawa kompaun kegagalan membayar boleh mencecah sehingga RM5,000, selaras dengan By-Law 53(1) di bawah Uniform Provision of Public Parking Places By-Laws 2023.
Tawau Carparks Sdn Bhd turut menjelaskan bahawa pihaknya hanya akan mengutip kompaun dan bayaran parkir bertarikh sebelum 1 Januari 2026, manakala sebarang urusan berkaitan sistem letak kenderaan selepas tarikh tersebut perlu dirujuk terus kepada MPT.
Setakat ini, orang ramai berharap agar pihak berkuasa tempatan dapat memberikan penjelasan lanjut serta mempertimbangkan semula mekanisme pelaksanaan kadar baharu supaya tidak membebankan pengguna, khususnya mereka yang bergantung kepada parkir harian dan bulanan di pusat bandar Tawau.


