TAWAU – Kejadian banjir kilat yang tular dan berlaku di beberapa lokasi luar kebiasaan di daerah ini semalam menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat, khususnya apabila ada kawasan tinggi turut terjejas.
Menerusi satu hantaran di Facebook, jurutera Majlis Perbandaran Tawau, Muhd Ikhsan, menjelaskan bahawa banjir kilat boleh berlaku apabila tahap keamatan (intensiti) hujan melebihi kapasiti sistem saliran air sedia ada.
Menurut beliau, secara kebiasaannya banjir kilat berpotensi berlaku apabila bacaan intensiti hujan melebihi 20 milimeter dalam tempoh sejam.
“Banjir kilat berlaku apabila intensiti air hujan lebih tinggi berbanding kapasiti sistem saliran. Sistem ini merangkumi keseluruhan rangkaian aliran air, bermula daripada parit kecil di hadapan rumah, longkang utama, monsun drain sehingga ke aliran sungai utama di sekitar bandar Tawau,” jelasnya.
Empat sungai utama yang terlibat dalam sistem aliran air di sekitar bandar Tawau ialah Sungai Tawau, Sungai Kinabutan, Sungai Tiku dan Sungai Tajong.
Beliau turut menegaskan bahawa faktor kapasiti bukan hanya merujuk kepada saiz longkang atau saliran, tetapi juga keberkesanan kadar aliran air yang bergantung kepada tahap penyelenggaraan dan keadaan semasa sistem tersebut.
Antara punca yang dikenal pasti menjejaskan kapasiti sistem saliran termasuk pembuangan sampah ke dalam parit, longkang dan sungai, pencemaran serta sisa pepejal yang menghalang aliran air.
Selain itu, pembangunan tidak terancang di kawasan aliran utama, khususnya di kawasan muara sungai yang menjadi titik akhir sebelum air dilepaskan ke laut, turut menyumbang kepada masalah ‘bottle neck’ yang menjejaskan kelancaran aliran air hujan secara keseluruhan. Struktur rumah atau bangunan tidak sah di kawasan berkenaan boleh membantutkan fungsi sistem sedia ada.

Kerosakan sistem perparitan yang tidak disenggara dengan baik juga dikenal pasti sebagai antara punca kegagalan kapasiti saliran.
Muhd Ikhsan menegaskan bahawa isu banjir kilat bukan tanggungjawab satu pihak semata-mata, sebaliknya memerlukan kesedaran dan kerjasama semua pihak.
“Setiap perancangan pembangunan, walaupun sekecil-kecil parit, perlu dilihat dari sudut kepentingan bersama, bukan kepentingan individu. Kita semua adalah sebahagian daripada sistem itu sendiri,” katanya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat agar berfikir secara menyeluruh sebelum melakukan sesuatu tindakan yang boleh memberi kesan kepada sistem saliran sedia ada, demi memastikan daya huni, keharmonian dan kemampanan kawasan kediaman dapat dipelihara secara bersama.



