Ikrar Bebas Rasuah – “SPRM patut siasat, bukan jadi VIP majlis”

Ikrar Bebas Rasuah

KOTA KINABALU, 26 Februari 2026 – “Kalau ikrar cukup untuk bersihkan sistem, kita cadangkan buat setiap bulan,” demikian saranan tegas Presiden Suara Mahasiswa UMS, Fidaa’ Ahmad Fahmi ketika mengulas mengenai Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Kabinet Kerajaan Negeri Sabah semalam.

Beliau berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Sabah kerana berjaya melafazkan IBR dengan penuh tertib di hadapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, penghargaan juga diberikan kepada Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, yang mengetuai barisan kabinet membaca teks integriti dengan yakin.

“Kami sangat bangga melihat komitmen tersebut,” katanya ketika dihubungi TawauKini.

Bagaimanapun, beliau secara sinis mempersoalkan sejauh mana ikrar berkenaan diterjemahkan kepada tindakan konkrit, khususnya melibatkan kes video yang dikaitkan dengan ADUN Sabah yang menurutnya masih tergantung tanpa perkembangan jelas.

“Tiada pendedahan menyeluruh. Tiada laporan terbuka. Tiada keberanian menyentuh semua nama yang disebut. Beginikah pencegahan rasuah sekarang? Angkat tangan, baca teks, tandatangan dokumen dan selesai?” soalnya.

Fidaa’ turut menyindir bahawa jika ikrar semata-mata mampu menyelesaikan masalah, maka mungkin pelbagai isu lain juga boleh ‘selesai’ hanya dengan lafaz dan tandatangan.

“Mungkin masalah air selesai. Mungkin elektrik tidak lagi terputus. Mungkin jalan raya tidak lagi berlubang. Mungkin isu mineral yang gelap tiba-tiba jadi jernih. Mungkin pembalakan misteri hilang sendiri,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa peranan utama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia adalah menjalankan siasatan secara profesional dan telus, bukannya sekadar menghadiri majlis rasmi.

Katanya, sekiranya benar serius dalam usaha membanteras rasuah, semua individu yang dikaitkan dalam pendedahan isu mineral Sabah perlu dipanggil dan disiasat tanpa memilih bulu.

“Jangan hanya berani mendakwa pegawai bawahan, tetapi berkompromi apabila nama besar disebut,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan supaya SPRM Negeri Sabah sendiri diaudit dan disiasat secara bebas bagi memastikan integriti institusi berkenaan terus terpelihara.

Semalam satu majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) melibatkan barisan Kabinet Kerajaan Negeri Sabah telah diadakan di hadapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dengan diketuai oleh Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, sebagai simbol komitmen pentadbiran negeri dalam memperkukuh integriti serta membanteras rasuah dalam perkhidmatan awam.

#TawauKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *