TAWAU, 26 Februari 2026 – Satu pencapaian bersejarah dalam perkhidmatan kesihatan awam negara tercipta apabila prosedur pembedahan otak dalam keadaan sedar (Awake Craniotomy) berjaya dilaksanakan buat pertama kali di Hospital Tawau.
Menteri Kesihatan merakamkan ucapan tahniah kepada Dr. Tan Shze Ee, Dr. Andy Yap Teck Cheng dan Dr. Ting Mei Sze selaku pakar neuro-bius, serta seluruh pasukan pembedahan yang terdiri daripada jururawat bius, juruteknik dan kakitangan sokongan klinikal atas dedikasi serta komitmen tinggi dalam menjayakan prosedur berkenaan.
Menurut beliau, kaedah pembedahan tersebut mengekalkan pesakit dalam keadaan sedar bagi membolehkan pakar bedah memantau fungsi pertuturan dan motor secara masa nyata sepanjang prosedur dijalankan. Pendekatan itu membolehkan pembuangan tumor dilakukan secara maksimum tanpa menjejaskan kualiti hidup pesakit selepas pembedahan.

Kejayaan ini juga membuktikan keberkesanan model Hospital Kluster menerusi kolaborasi strategik antara Hospital Tawau, Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Queen Elizabeth II dalam membawa kepakaran tahap tertiari terus ke hospital pakar wilayah.
Tambah beliau, langkah ini merupakan usaha proaktif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menghapuskan cabaran jarak atau tyranny of distance yang selama ini membebankan rakyat, khususnya di Sabah. Penduduk di Pantai Timur negeri ini kini tidak lagi perlu menempuh perjalanan sehingga 10 jam ke Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan neurosurgeri kompleks.
Inisiatif tersebut secara langsung membantu mengurangkan beban kewangan serta tekanan emosi yang terpaksa ditanggung oleh keluarga pesakit.

“Kita mahu memastikan bahawa kedudukan geografi tidak lagi menjadi faktor penentu kepada tahap kualiti rawatan yang diterima oleh rakyat. Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh akses perkhidmatan kesihatan yang saksama dan berkualiti tinggi demi kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia,” katanya.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah memaklumkan bahawa prosedur tersebut melibatkan pembedahan otak yang dijalankan ketika pesakit berada dalam keadaan separa sedar, sekali gus membolehkan doktor memantau respons neurologi secara masa nyata sepanjang operasi.
#TawauKini

