Malam itu sepatutnya semua penat. Usai program anjuran SUARAM di Kuala Lumpur, semuanya sudah pulang ke bilik masing-masing. Tapi, sudah jadi kebiasaan, kami yang jauh dari Sabah selalu mencuri waktu-waktu luang yang ada untuk berkumpul. Saking besarnya Sabah, kami yang di Sabah pun kurang berkumpul. Akhirnya, di Kuala Lumpur juga tempat diskusi paling nyaman.
Aku, Rien dan Hamdin berjanji kumpul di bilik Fadhil lebih kurang pukul 11 malam. Rien menghabiskan masanya di Sandakan, waktu itu kami pula banyak masa di Tawau dan Kota Kinabalu.
Dari soal gerakan, mahasiswa, pilihanraya negeri sampailah kepada cerita demonstrasi. Waktu itu, ingat lagi susunannya kasar tetapi teratur. Lepas ini, ini. Lepas ini, itu pula. Sampailah ke acara demonstrasi jalan raya. Tup tup, sudah pukul 4 pagi. Pagi nanti mahu berkumpul untuk aktiviti SUARAM lagi.
Plan demonstrasi itulah jadi bahan kami asal bejumpa. Sampai di lapangan terbang, sebelum berlepas pulang ke Sabah pun masih cerita soal demosntrasi. Aku dan Fadhil pulang balik ke Sabah, tapi Hamdin tinggal kerana sudah harus lapor diri bekerja di MANDIRI.
Atas kapal, Fadhil senyap hadap iPad. Malas ganggu, aku biar dan terus baca buku “Teruslah Bodoh Jangan Pintar” oleh Tere Liye. Turun-turun saja di Lapangan Terbang, Fadhil terus tunjuk satu poster.
Saling bertengok dan ketawa. “Bagussssss…” Itulah bahasa tubuh selalu kami. Benda ini memang akan jadi. Tidak akan tidak. Pulang terus ke rumah sewa dan tidur.
Ingat lagi, esoknya kami bangun dalam tengahari. Kawan-kawan lain semua pergi kelas. Aku baru saja bergraduasi waktu itu. Fadhil pula, sama ada tidak ada kelas, atau dia yang malas mahu pergi kelas.
“Jadi postlah?”
“Post!”
Tanpa fikir panjang, aku yakan terus. Buat apa tunggu lama-lama dalam hal kebaikan? Kalau ditunggu lagi, ditunggu dan ditunggu, dibincang dan dibincang, sampai ke sudah tidak jadi. Jadi, post terus. Takkan hal baik ditolak orang kan?
Lepas itu, kami sambung tidur. Sampai azan Maghrib baru bangun.
Bangun-bangun, bertalu notifikasi telefon masuk. Ada dari media, kawan-kawan mahasiswa Semenanjung, kawan-kawan aktivis, termasuk kawan-kawan Suara Mahasiswa. Ramai yang menyokong dan kata mahu hadir, ada juga yang menolak seratus peratus, tidak mahu ikut serta.
Bersambung…
NAIEM ZIKRI merupakan Presiden Ikatan Anak Muda Tawau – IKAT dan mantan Presiden Suara Mahasiswa UMS
Penafian : Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian TawauKini.


