Program Koperasi Perkasa Usahawan Tempatan, Belia Disasar Jadi Pemacu Ekonomi – Nizam

TAWAU – Program berteraskan koperasi terus dilihat sebagai platform berkesan dalam memperkasa ekonomi masyarakat, khususnya dalam kalangan usahawan dan belia di daerah ini.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penganjuran program anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKM) membawa impak besar kepada masyarakat setempat, terutama mereka yang terlibat secara langsung dalam sektor koperasi dan keusahawanan.

Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada IKM kerana berjaya menganjurkan program yang disifatkan cukup bermakna, dengan kehadiran lebih 100 peserta.

“Saya teruja melihat sambutan yang sangat memberangsangkan. Ini membuktikan minat dan kesungguhan masyarakat terhadap koperasi sebagai satu platform menjana pendapatan dan membina masa depan ekonomi yang lebih stabil,” katanya.

Menurut beliau, pengetahuan dan kefahaman mengenai matlamat penubuhan koperasi amat penting bagi memastikan setiap usaha yang dijalankan mampu memberi pulangan serta manfaat berpanjangan kepada ahli-ahli koperasi.

Datuk Nizam berharap ilmu dan perkongsian yang disampaikan oleh penceramah jemputan dapat dihayati serta diaplikasikan dalam kehidupan sebenar peserta, sekali gus membantu mereka mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi.

Dalam pada itu, beliau turut memuji inisiatif IKM yang menubuhkan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia, yang dilihat sebagai satu nilai tambah kepada pembangunan modal insan dalam bidang keusahawanan koperasi.

“Saya dimaklumkan terdapat kira-kira 10 pelajar dari Sabah yang kini melanjutkan pengajian di universiti tersebut. Ini satu petanda yang sangat positif dan memberi peluang kepada rakyat Sabah untuk meningkatkan ilmu serta kemahiran keusahawanan secara lebih tersusun,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Datuk Nizam berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong program turun padang seperti JUM ECOP 2026 yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat, selari dengan usaha memperkasakan ekonomi rakyat di peringkat akar umbi.

Sementara itu, beliau turut mendedahkan perancangan kementeriannya untuk menubuhkan koperasi belia di bawah Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif.

“Kita bukan sahaja mahu membimbing belia memahami tanggungjawab mereka, tetapi juga menerapkan nilai keusahawanan supaya mereka mampu berdikari, menjana pendapatan sendiri dan hidup secara mampan,” katanya.

Menurut beliau, usaha tersebut diyakini mampu memberi kesan berganda bukan sahaja kepada individu, malah kepada keluarga, komuniti setempat, negeri Sabah dan negara secara keseluruhan.

Walaupun masih di peringkat perancangan, Datuk Nizam optimis koperasi belia bakal menjadi antara pemangkin utama pembangunan ekonomi belia pada masa hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *