Hafiz Profesional Jadi Aspirasi Baharu, Program USIA–IKDAR Perkasa Pendidikan Tahfiz Sabah

TAWAU – Usaha memperkasakan pendidikan tahfiz di Sabah terus diperkukuh apabila pendekatan baharu yang menggabungkan pengajian al-Quran dan latihan kemahiran diperkenalkan, sekali gus membuka laluan lebih luas kepada masa depan para hufaz dan hufizah.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, inisiatif kolaborasi antara Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Institut Kemahiran Islam Daruriduan (IKDAR) merupakan satu langkah tepat dan signifikan dalam membentuk generasi hafiz yang lebih holistik.

Menurut beliau, USIA sebagai antara pertubuhan Islam tertua di Sabah telah membuktikan keupayaannya dalam memperjuangkan agenda pendidikan Islam, manakala IKDAR pula mempunyai pengalaman luas dalam menyediakan latihan kemahiran kepada pelajar tahfiz.

“Saya yakin usaha ini akan menjadi nilai tambah kepada para hafiz dan hufizah kita di Sabah. Mereka bukan sahaja menghafal al-Quran, tetapi turut dilengkapi dengan kemahiran yang mampu menjadikan mereka lebih berdaya saing,” katanya.

Datuk Nizam menjelaskan, penguasaan kemahiran teknikal atau kemahiran profesional lain mampu membuka peluang lebih luas kepada lepasan tahfiz untuk menjana pendapatan serta membina kehidupan yang stabil pada masa hadapan.

“Gabungan ilmu al-Quran dan kemahiran ini akan melahirkan golongan profesional yang bukan sahaja berilmu dari sudut agama, tetapi juga mampu berdikari dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan sokongan penuh terhadap pelaksanaan program berkenaan dan berharap ia dapat diperluaskan ke lebih banyak institusi pendidikan tahfiz di Sabah.

Dalam masa sama, Datuk Nizam menyeru para ibu bapa agar memainkan peranan aktif dengan menggalakkan anak-anak yang mengikuti pengajian tahfiz untuk memanfaatkan peluang pendidikan kemahiran yang ditawarkan.

“Ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka tidak hanya fokus kepada hafazan semata-mata, tetapi turut mengambil kesempatan untuk menambah kemahiran sebagai persediaan menghadapi realiti kehidupan,” katanya.

Beliau percaya pendekatan pendidikan seimbang ini bukan sahaja memperkukuh jati diri pelajar tahfiz, malah mampu melahirkan generasi hafiz profesional yang berakhlak, berkemahiran dan berdaya saing, selaras dengan keperluan semasa dan masa hadapan negeri Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *