SAN Apas Balung cipta sejarah, siap kurang 3 bulan, dilengkapi kelas Ai

SAN Apas Balung

TERKINI | Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya dibina hasil gabungan sumbangan orang ramai dan kerjasama kerajaan negeri.

Sekali gus muncul sebagai sekolah agama pertama di Malaysia yang mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pembelajaran.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji bin Haji Noor, berkata pembinaan sekolah berkenaan yang siap dalam tempoh hanya tiga bulan membuktikan kekuatan semangat gotong-royong masyarakat serta keprihatinan terhadap pembangunan pendidikan agama di negeri ini.

“Sekolah agama ini dibina sebagai permulaan melalui derma orang ramai yang sanggup menyumbang. Kerajaan negeri pula akan membantu untuk membesarkan dan memperkukuhkan lagi sekolah ini,” katanya ketika merasmikan Sekolah Agama Negeri Apas Balung sempena lawatan kerja beliau ke daerah Tawau.

Menurut Hajiji, model pembinaan berasaskan sumbangan komuniti yang disokong kerajaan ini wajar dijadikan contoh dalam memperkasa pendidikan agama, khususnya di kawasan luar bandar.

Lebih membanggakan, sekolah ini turut menjadi perintis penggunaan teknologi AI dalam institusi pendidikan agama, selari dengan keperluan pendidikan masa hadapan.

“Ini bukan sekolah agama biasa. Ia adalah sekolah agama pertama yang menggunakan teknologi AI. Sangat menarik dan mencerminkan keperluan zaman yang semakin canggih,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan berteraskan teknologi ini membuktikan pendidikan agama tidak ketinggalan dalam arus digital, malah mampu bergerak seiring dengan kemajuan semasa tanpa mengabaikan nilai dan akhlak.

Hajiji turut menyatakan bahawa Sekolah Agama Negeri Apas Balung berpotensi menjadi model rujukan kepada pembangunan sekolah-sekolah agama negeri dan sekolah agama rakyat lain di Sabah.

“Sekolah ini boleh dijadikan perintis dan contoh yang baik. Kita perlu menggunakan teknologi untuk bergerak ke hadapan, termasuk dalam pendidikan agama,” katanya.

Mengulas perancangan jangka panjang, beliau memaklumkan pihak pengurusan sekolah turut merancang untuk membangunkan Sekolah Menengah Agama Negeri pada masa hadapan bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam yang semakin meningkat.

Kerajaan negeri, katanya, bersedia membantu dari segi perancangan dan peruntukan bagi memastikan kesinambungan pembangunan institusi pendidikan agama yang berkualiti.

Pembinaan dan perasmian Sekolah Agama Negeri Apas Balung bukan sahaja melambangkan kejayaan kerjasama antara rakyat dan kerajaan, malah menjadi simbol transformasi pendidikan agama ke arah lebih moden, progresif dan berdaya saing, seiring tuntutan era digital.

#TawauKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *