KOTA KINABALU, 29 Mac 2026 – “Sepatutnya institusi pengajian tinggi bertindak memberi pencerahan ilmu kepada masyarakat mengenai isu anak-anak tanpa negara, gunakan segala kepakaran yang ada untuk menjelaskan kepada masyarakat yang keliru.”
Demikian kata seorang wakil Suara Mahasiswa UMS ketika mengulas tindakan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dilihat bersedia mengambil tindakan perundangan berkaitan penggunaan nama dan logo universiti oleh gerakan mahasiswa tersebut.
Beliau berkata demikian selepas UMS mengeluarkan satu kenyataan media memaklumkan bahawa pihak universiti telah melaksanakan tindakan susulan bagi menangani isu penyalahgunaan nama dan logo universiti di platform media sosial.
Dalam kenyataan tersebut, UMS menyatakan antara langkah yang diambil termasuk melaksanakan pemantauan berterusan terhadap kandungan dan akaun berkaitan, selain mengambil tindakan susulan melalui saluran yang bersesuaian termasuk aspek perundangan.
Menurut wakil mahasiswa itu, pendekatan yang diambil universiti dilihat berbeza dengan pandangan yang pernah dinyatakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir sebelum ini.
“Tapi mereka pilih jalan berbeza. UMS mahu ambil tindakan perundangan, sedangkan sebelum ini Menteri KPT kata tak perlu,” katanya kepada TawauKini.
Sebelum ini, isu hampir sama pernah berlaku di Universiti Malaya (UM) apabila pihak universiti dilaporkan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap gerakan pelajar Liga Mahasiswa Universiti Malaya yang didakwa menggunakan logo universiti.
Bagaimanapun, Zambry dalam satu kenyataan sebelum ini berpandangan bahawa perkara seperti itu tidak seharusnya dipanjangkan sehingga ke peringkat tindakan undang-undang sekiranya masih terdapat ruang untuk penyelesaian secara baik antara kedua-dua pihak.
“Saya juga berpandangan bahawa perkara sebegini tidak seharusnya dipanjangkan sehingga ke peringkat tindakan undang-undang sekiranya masih terdapat ruang untuk penyelesaian secara baik antara kedua-dua pihak,” katanya.
Sejak kebelakangan ini, beberapa gerakan mahasiswa termasuk Suara Mahasiswa UMS dan Liga Mahasiswa Universiti Malaya semakin lantang menyuarakan pelbagai isu berkaitan tadbir urus universiti serta isu rasuah di peringkat nasional.
Antara isu yang turut mencetuskan perbincangan awam ialah persoalan anak-anak tanpa negara di Sabah, yang dibangkitkan oleh aktivis mahasiswa sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kesedaran masyarakat.
Dalam masa sama, UMS dalam kenyataan medianya menegaskan bahawa identiti universiti merupakan amanah bersama yang perlu dipelihara dengan penuh tanggungjawab.
Universiti itu juga menasihatkan orang ramai agar sentiasa merujuk kepada saluran rasmi UMS bagi mendapatkan maklumat yang sahih.


