KOTA KINABALU, 4 Mei 2026 – Pasukan penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya menumpaskan cubaan penyeludupan dadah berskala besar selepas merampas methamphetamine seberat 305.722 kilogram bernilai anggaran RM15.29 juta di Pelabuhan Sepanggar.
Rampasan tersebut dilakukan hasil risikan sejak 22 April lalu, apabila sepasukan pegawai JKDM memeriksa sebuah kontena 40 kaki yang dihantar dari Pelabuhan Klang. Pemeriksaan rapi ke atas kontena itu menemukan 15 kotak mengandungi bahan disyaki methamphetamine yang disorokkan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Menurut kenyataan JKDM Sabah, sindiket menggunakan modus operandi dengan mengikrarkan muatan sebagai “drink stuff” dalam dokumen penghantaran (Bill of Lading) bagi mengaburi pihak berkuasa. Taktik tersebut dipercayai bagi meloloskan dadah melalui pemeriksaan biasa di pelabuhan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan. Pihak kastam menegaskan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan rangkaian sindiket yang terlibat.
Dalam pada itu, orang ramai turut digesa untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan, yang bukan sahaja mengancam keselamatan awam tetapi turut memberi kesan besar kepada ekonomi negara.
#TawauKini