Kegiatan menyimpan dan membawa diesel bersubsidi secara tidak sah terbongkar selepas polis melakukan serbuan di sebuah stesen minyak di Batu 3, Jalan Apas, di sini, pada Sabtu.
Dalam operasi sekitar jam 4.40 petang itu, seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun diberkas selepas didapati memiliki sejumlah besar bahan api tanpa kebenaran.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tindakan tersebut diambil hasil maklumat risikan dan pemantauan yang dijalankan oleh pasukan khas Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam IPD Tawau, diketuai Deputi Superintenden Sukvinderjeet Singh.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi menemukan kira-kira 300 liter diesel bersubsidi yang tidak disertakan dengan sebarang lesen atau permit sah.
Lebih mencurigakan, pihak polis turut menjumpai sebuah tangki minyak jenis gentian yang telah diubah suai, dipercayai digunakan untuk menyimpan bahan api berkenaan.
“Suspek gagal menunjukkan dokumen sah bagi pemilikan diesel tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Dalam serbuan itu, polis turut menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Trooper, kunci kenderaan serta tangki yang digunakan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM11,445.
Kesemua barang rampasan bersama suspek kemudiannya diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Tawau untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sehubungan itu, Jasmin mengingatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan barangan kawalan kerana tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku.
Beliau turut mengajak orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan melalui saluran Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan tersebut.