TAWAU – Peningkatan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion disifatkan sebagai bukti bahawa pendekatan rundingan yang dibawa Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya membawa hasil nyata kepada rakyat negeri ini.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menunjukkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperjuangkan hak Sabah melalui saluran diplomasi dan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan.

“Saya menyambut baik pengumuman peningkatan bayaran interim ini sementara pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.
“Ini membuktikan pendekatan rundingan yang dipilih Kerajaan Negeri Sabah bersama GRS akhirnya membawa hasil yang nyata kepada rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Ramah Mesra Bersama Komuniti Warga Cina Tawau Lama (Hi-Tea) di Cowie Bay, Tawau.
Menurut Nizam, peningkatan bayaran interim tersebut juga menolak dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa kerajaan negeri gagal memperjuangkan hak Sabah.
Katanya, perjuangan hak Sabah tidak seharusnya dinilai melalui kenyataan beremosi atau slogan politik semata-mata, sebaliknya perlu dilihat berdasarkan hasil yang berjaya diperoleh untuk negeri dan rakyat.

“Proses menuntut hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan, bukan perkara mudah kerana ia melibatkan pelbagai aspek termasuk undang-undang, fiskal dan pentadbiran.
“Rundingan memerlukan kesabaran, ketelitian dan hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa GRS memilih pendekatan lebih matang dengan terus tegas mempertahankan hak Sabah tanpa menjejaskan hubungan kerja dengan Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan rundingan terus berjalan dan membuka ruang penyelesaian yang memberi manfaat jangka panjang kepada Sabah.
Nizam turut menyifatkan pengumuman RM1.5 bilion itu sebagai perkembangan penting dalam sejarah perjuangan MA63 kerana ia menunjukkan tuntutan Sabah terus diberi perhatian dan diterjemahkan dalam bentuk komitmen kewangan yang lebih besar.
Dalam masa sama, beliau berkata penegasan Perdana Menteri bahawa pelaksanaan hak 40 peratus kepada Sabah kini hanya menunggu mekanisme pelaksanaan adalah satu perkembangan yang amat signifikan.
“Perjuangan hak Sabah mesti diteruskan dengan keberanian dan kebijaksanaan. Kita tidak menolak ketegasan, tetapi ketegasan mesti disertai strategi.
“Pengumuman RM1.5 bilion ini membuktikan bahawa jalan rundingan yang dipilih GRS bukan jalan lemah, tetapi jalan yang membawa hasil,” katanya.