Bersih Sabah persoal status siasatan ADUN Sabah, beri bayangan himpunan anti-rasuah di KK

Bersih Sabah

KOTA KINABALU, 18 Mei – “Lebih mengecewakan, beberapa individu yang dikaitkan dengan skandal ini dilantik sebagai menteri termasuk pengerusi GLC seperti Sabah Softwoods, SEDCO dan SOGDC.” demikian kenyataan Bersih Sabah yang turut menegaskan bahawa perkembangan itu menimbulkan persoalan serius terhadap komitmen reformasi institusi serta ketelusan dalam pentadbiran negeri Sabah.

Dalam pada itu, BERSIH Sabah memberi bayangan bakal menganjurkan himpunan anti-rasuah yang dinamakan Gempur Rasuah Sabah 3.0 sebagai lanjutan kepada siri tekanan awam terhadap isu integriti dan pendakwaan kes berprofil tinggi yang masih belum menemui penyelesaian. Gerakan itu difahamkan akan digerakkan bersama Suara Mahasiswa UMS serta beberapa pertubuhan masyarakat sivil lain yang berkongsi tuntutan sama terhadap ketelusan sistem kehakiman dan siasatan.

Menurut kenyataan itu lagi, sehingga kini sudah 1 tahun 6 bulan berlalu sejak pendedahan awal skandal berkenaan, namun perkembangan kes masih dianggap perlahan dengan hanya sebahagian kecil individu telah didakwa di mahkamah. Situasi ini, menurut mereka, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat mengenai keberkesanan tindakan penguatkuasaan serta ketelusan proses siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

BERSIH Sabah turut mendakwa bahawa kali terakhir perkembangan rasmi kes diumumkan adalah pada 9 September 2025 apabila enam lagi individu dilaporkan masih menunggu keputusan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya. Namun sehingga kini, tiada sebarang pengumuman baharu dibuat, sekali gus menimbulkan persepsi bahawa kes tersebut berada dalam keadaan tergantung tanpa penyelesaian jelas.

Tambahnya, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila beberapa individu yang dikaitkan dengan skandal berkenaan kini memegang jawatan penting dalam pentadbiran serta berkait langsung dengan pengurusan tinggi syarikat berkaitan kerajaan. Perkara ini, menurut mereka, boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap usaha pembaharuan institusi yang sedang dicanangkan.

Sehubungan itu, BERSIH Sabah menggesa agar pihak berkuasa tampil memberikan penjelasan terbuka berhubung status semasa siasatan serta tindakan lanjut terhadap baki individu yang masih belum didakwa. Mereka menegaskan bahawa ketelusan dan kebertanggungjawaban adalah kunci utama dalam memastikan integriti sistem pentadbiran tidak terus dipersoalkan.

Dalam masa sama, perancangan penganjuran himpunan Gempur Rasuah Sabah 3.0 dijangka akan diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat melalui satu sidang media khas. Himpunan itu disasarkan sebagai platform untuk menyuarakan tuntutan reformasi institusi serta mendesak penyelesaian tuntas terhadap isu rasuah yang masih membelenggu pentadbiran negeri.

Bersih Sabah

#TawauKini