Dua mangsa ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai lemas di Sungai Melangkap berhampiran Polumpung View Camp Site, Melangkap Baru.
Mangsa pertama, Zul Hakim Abdullah, 23, ditemukan terlebih dahulu oleh pasukan bomba pada hari pertama operasi kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian.
Manakala, mangsa kedua Daniel Abdullah, 18, ditemukan oleh orang awam pada jam 12.04 tengah hari di sektor C kira-kira 200 meter dari lokasi tempat mandi, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PPgb Elgie Bakuk berkata, Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua dimulakan pada jam 8.50 pagi dengan pencarian dibahagikan kepada tiga sektor.
“Sektor A melibatkan pencarian menyelusuri sungai dari lokasi mangsa dilaporkan hilang di Polumpung Melangkap sehingga ke Sondot View Camp dengan radius pencarian sejauh 3.4 kilometer.
“Sektor B pula menjalankan pencarian di sepanjang sungai bermula dari kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Narinang sehingga ke Sondot View Camp sejauh 5.2 kilometer,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.
Menurutnya, sektor C pula melibatkan pasukan NGO Team Rafting yang menjalankan pencarian menggunakan kaedah rafting bermula dari lokasi kejadian sehingga ke Pekan Taginambur.
Kedua-dua mangsa lemas disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis pada jam 12.30 tengah hari untuk tindakan lanjut sebelum operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.30 petang.
Terdahulu, operasi SAR dimulakan sejurus pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 9.26 pagi semalam membabitkan dua mangsa dipercayai lemas di sungai berkenaan.