Mahkamah Majistret Tawau hari ini menyaksikan dua lelaki didakwa atas kesalahan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat lebih 130 kilogram dalam serbuan yang dilakukan bulan lalu.
Ng Chuan Tong, 51, dan Herman Patte, 35, dibawa ke hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin bagi menghadapi pertuduhan tersebut. Ng dilaporkan bekerja di premis peminjam wang berlesen manakala Herman merupakan penghantar barang.
Semasa pertuduhan dibacakan, kedua-dua tertuduh hanya memberi isyarat faham tanpa sebarang pengakuan direkodkan kerana kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa bertindak bersama mengedar methamphetamine dengan berat kasar 130,575.18 gram di Batu 15 Jalan Apas, Tawau pada 21 April lalu sekitar jam 9.30 malam.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sekiranya sabit kesalahan, kedua-duanya boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup selain berdepan maksimum 12 kali sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin, sementara kedua-dua tertuduh hadir tanpa peguam bela.
Mahkamah kemudian menetapkan 2 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes dan Majistret Dayang Aidaku Amira memutuskan tidak memberi jaminan kepada kedua-dua tertuduh.