“Mereka warganegara, anak-anak masih sekolah” – Azis Jamman gesa ambil kira aspek kemanusiaan isu perobohan di Liikas Lama

mereka warganegara

“Mereka warganegara, anak-anak masih sekolah” – Sebarang perobohan di Likas Lama perlu mengambil kira aspek kemanusiaan dan kebajikan penduduk, kata Datuk Mohd Azis Jamman.

Beliau berkata, isu perobohan tidak seharusnya dilihat semata-mata dari sudut pembangunan atau penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya perlu dinilai secara menyeluruh termasuk kesan terhadap kehidupan rakyat.

Menurutnya, penduduk di kawasan terlibat kebanyakannya terdiri daripada golongan kurang berkemampuan yang telah menetap di situ sejak puluhan tahun, malah ada yang mencecah lebih 40 tahun.

Mereka warganegara

“Mereka warganegara Malaysia yang memiliki kad pengenalan sah dan datang daripada pelbagai latar belakang kaum seperti Bajau, Bugis, Brunei, Suluk dan Kagayan.

“Lebih menyedihkan, anak-anak mereka masih bersekolah dan kini berdepan ketidakpastian untuk meneruskan pendidikan sekiranya perobohan dilakukan tanpa penyelesaian sewajarnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azis menegaskan, sebarang tindakan merobohkan kediaman tanpa menyediakan alternatif penempatan yang munasabah adalah tidak wajar serta mencerminkan kegagalan memahami realiti kehidupan rakyat di peringkat akar umbi.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan agar tidak timbul sebarang tuduhan tidak berasas yang melabelkan penduduk sebagai pendatang tanpa izin.

“Tuduhan sebegini bukan sahaja tidak adil, malah berpotensi mengeruhkan keadaan serta menafikan hak rakyat tempatan yang sah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri supaya mengambil pendekatan lebih bertanggungjawab dengan menyediakan pelan penempatan semula yang jelas, adil dan berperikemanusiaan sebelum sebarang tindakan perobohan dilaksanakan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sokongan terhadap tindakan tegas pihak berkuasa sekiranya terdapat warga asing yang berada secara haram di kawasan berkenaan.

“Jika didapati ada antara penghuni yang merupakan warga asing tanpa dokumen sah, saya menyokong penuh agar mereka ditangkap, didakwa dan dihantar pulang ke negara asal.

“Pembangunan tidak seharusnya mengorbankan kebajikan rakyat, sebaliknya perlu dilaksanakan secara seimbang dengan mengambil kira hak dan kesejahteraan semua pihak,” katanya.