Geng ‘Angel’ tumpas : 7 pelajar ditahan kes belasah remaja perempuan

geng angel

Polis mengesahkan penahanan tujuh pelajar sekolah menengah bagi membantu siasatan kes membabitkan seorang remaja perempuan dipukul beramai-ramai dalam kejadian yang videonya tular di media sosial sejak Rabu lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, semua suspek terdiri daripada lima pelajar perempuan dan dua pelajar lelaki berusia antara 15 hingga 17 tahun ditahan kira-kira jam 3 petang semalam.

Menurutnya, seorang daripada pelajar lelaki itu dipercayai bertindak merakam keseluruhan kejadian sebelum video berkenaan tersebar di media sosial.

“Semua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan semua pelajar yang ditahan sudah diberikan jaminan polis sementara menunggu kertas siasatan dilengkapkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, polis menjalankan siasatan selepas menerima laporan daripada mangsa sehari selepas kejadian berlaku.

Hasil siasatan awal mendapati insiden berkenaan berlaku kira-kira jam 8 pagi pada 22 Mei lalu apabila mangsa dipercayai dipukul menggunakan tangan oleh lima pelajar perempuan.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam pada kedua-dua bahu dan kaki selain lebam pada telinga kiri serta luka kecil pada lutut kiri.

Syed Lot berkata, semua pelajar yang terbabit dipercayai saling mengenali dan berhubung melalui satu kumpulan aplikasi WhatsApp dikenali sebagai ‘Angel’.

Video kejadian itu sebelum ini tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi netizen yang mengecam tindakan ganas berkenaan.