Hajiji bimbang pembangunan pesat di Pulau Mabul dan Kapalai ancam kelestarian

mabul dan kapalai

Kerajaan Sabah bimbang terhadap pembangunan pesat di daerah Sempornan iaitu di Pulau Mabul dan Kapalai yang terkenal sebagai antara destinasi pelancongan utama di daerah ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata kedua-dua pulau itu kini berdepan tekanan akibat kesesakan dan pembangunan yang semakin rancak sehingga memerlukan pendekatan pengurusan lebih berhati-hati.

Menurut beliau, pembangunan di Semporna perlu berasaskan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi memastikan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kelestarian jangka panjang.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan pembangunan yang hanya mengejar keuntungan jangka pendek sehingga menjejaskan khazanah alam negeri dan masa depan Sabah.

Hajiji turut melihat Semporna berpotensi menjadi hab pelancongan marin lestari bertaraf dunia, pusat akuakultur moden serta pengeluar makanan laut premium negara.

Beliau turut menggesa pemimpin tempatan memainkan peranan lebih aktif dalam melindungi ekosistem selain meningkatkan kesedaran masyarakat dan penglibatan belia dalam sektor Ekonomi Biru Sabah.

“Apa yang dirancang hari ini adalah janji kepada generasi akan datang supaya mereka mewarisi lautan yang indah dan kaya dengan peluang ekonomi,” katanya.