Dua Gempa Bumi Lemah Gegar Sabah dan Sarawak Dalam Tempoh 12 Jam

KUALA LUMPUR – Dua kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 2.9 dilaporkan berlaku di Ranau, Sabah dan Mambong, Sarawak dalam tempoh kurang 12 jam pada 2 Jun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, gempa pertama dikesan di Ranau pada jam 10.36 pagi dengan kedalaman 10 kilometer (km).

Menurut beliau, pusat gempa tersebut berada pada kedudukan latitud 6.07 darjah utara dan longitud 116.58 darjah timur.

“Gegaran dilaporkan turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Kundasang, Ranau dan Kota Belud,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada hari yang sama, satu lagi gempa bumi lemah dengan magnitud dan kedalaman yang sama direkodkan di Mambong, Sarawak pada jam 10.33 malam.

Gempa tersebut berpusat pada latitud 1.32 darjah utara dan longitud 110.39 darjah timur, dengan gegaran dirasai di beberapa kawasan sekitar Samarahan dan Serian.

Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik kerana kedua-dua kejadian itu dikategorikan sebagai gempa bumi lemah dan tidak mendatangkan ancaman besar.

MetMalaysia memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa serta menyalurkan maklumat terkini kepada orang ramai dari semasa ke semasa.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat sahih berkaitan cuaca dan gempa bumi menerusi laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi jabatan atau menghubungi talian hotline 1300-22-1638.

Sumber: Bernama