KUALA LUMPUR – Di sebalik cabaran menunaikan ibadah haji yang menghimpunkan jutaan umat Islam dari seluruh dunia, satu perkara yang terus mencuri perhatian ialah disiplin dan sikap terpuji yang ditunjukkan oleh jemaah haji Malaysia.
Perkara itu dikongsikan oleh pengguna Threads, @afif_taiping, yang memuat naik beberapa gambar keadaan khemah penginapan jemaah Malaysia di Mina selepas selesai urusan Masyair.
Menerusi perkongsian tersebut, khemah-khemah yang digunakan sepanjang tempoh berada di Mina dilihat ditinggalkan dalam keadaan bersih, kemas dan teratur tanpa sampah berselerak atau kerosakan kemudahan.

“Mentaliti Jemaah Haji Malaysia kelas dunia. Kita sangat berbangga menjadi rakyat Malaysia. Jemaah Haji Malaysia sememangnya mendunia,” tulisnya.
Beliau turut menyifatkan budaya menjaga kebersihan dan kemudahan awam yang ditunjukkan oleh jemaah Malaysia sebagai satu kebanggaan negara yang boleh dijadikan contoh kepada masyarakat antarabangsa.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai warga maya yang memuji sikap bertanggungjawab jemaah Malaysia serta usaha berterusan para petugas haji dalam memastikan kelancaran pengurusan sepanjang musim haji.
Kecemerlangan pengurusan haji Malaysia turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Lembaga Tabung Haji (TH) sekali lagi menerima Anugerah Labaytum Diamond 2026 daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Anugerah berprestij itu merupakan pengiktirafan tertinggi yang diberikan kepada institusi pengurusan haji dan menandakan tahun kedua berturut-turut TH menerima penghormatan tersebut.
Menurut TH, anugerah itu diberikan atas kecemerlangan dalam pengurusan haji, penyampaian perkhidmatan kepada jemaah serta peranannya sebagai institusi kewangan Islam terkemuka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata pengiktirafan berkenaan mencerminkan keyakinan tinggi Kerajaan Arab Saudi terhadap keupayaan Malaysia dalam mengurus dan menjaga kebajikan jemaah haji secara konsisten.
“Pengiktirafan ini satu penghormatan besar kepada Malaysia dan memperkukuh kedudukan negara sebagai antara peneraju dunia dalam pengurusan haji,” katanya.
Gabungan antara pengurusan yang sistematik oleh Tabung Haji dan disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh para jemaah menjadikan Malaysia terus dipandang tinggi di peringkat antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama negara di Tanah Suci.