Kerajaan mengumumkan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia akan ditetapkan pada RM2.10 seliter bermula Julai 2026 menerusi mekanisme baharu yang menggunakan pengesahan MyKad.
Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri satu program di Bintulu baru-baru ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan dan dikongsikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Madani untuk menyeragamkan sistem pemberian subsidi diesel di seluruh negara.
Menerusi kaedah baharu itu, subsidi akan disalurkan secara terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad ketika pembelian bahan api. Ini bermakna hanya warganegara yang layak akan menikmati harga subsidi, manakala warga asing dan pihak yang tidak memenuhi syarat perlu membeli diesel pada harga pasaran tanpa subsidi.
Menurut kementerian, pendekatan tersebut mengambil contoh pelaksanaan program BUDI Madani RON95 (BUDI95), sekaligus menyatukan kaedah pengagihan subsidi dan kadar harga diesel di seluruh negara.
Kerajaan menjelaskan perubahan itu penting bagi menangani ketirisan yang berlaku akibat jurang harga yang besar antara diesel bersubsidi dan diesel tanpa subsidi.
Di bawah struktur baharu itu, rakyat Malaysia yang layak hanya perlu membayar RM2.10 seliter, manakala harga diesel tanpa subsidi kekal pada RM4.37 seliter di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.