KOTA KINABALU: Sabah masih berdepan kekurangan hampir 25,000 unit darah setiap tahun apabila keperluan bekalan darah di seluruh negeri melebihi 100,000 unit setahun, sedangkan kutipan semasa hanya sekitar 70,000 unit.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim berkata, situasi itu menuntut lebih ramai rakyat tampil sebagai penderma darah bagi memastikan bekalan mencukupi untuk kegunaan hospital dan pusat rawatan di seluruh Sabah.
Menurutnya, setiap unit darah yang didermakan mampu memberi peluang kedua kepada pesakit yang memerlukan rawatan segera termasuk mangsa kemalangan, pesakit kanser, ibu bersalin serta individu yang menjalani rawatan berterusan.

“Sabah memerlukan lebih 100,000 unit darah setiap tahun, namun jumlah kutipan dan simpanan yang ada ketika ini hanya sekitar 70,000 unit.
“Justeru, kami menyeru lebih ramai masyarakat tampil menderma darah dan menjadikan amalan ini sebagai budaya dalam kalangan rakyat yang prihatin serta penyayang.
“Dengan pertambahan jumlah penderma, kita mampu mengurangkan jurang kekurangan bekalan darah yang dihadapi negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan di Facebook selepas menyempurnakan Kempen Derma Darah Peringkat Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Azrul turut menzahirkan penghargaan kepada pihak HQE II, petugas kesihatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dan semua penderma darah yang terus komited membantu memastikan bekalan darah di Sabah sentiasa mencukupi bagi memenuhi keperluan pesakit.
– Sabah News