JIM Sabah perjelas isu depot tahanan, dakwaan tular disifatkan mengelirukan

JIM Sabah perjelas isu depot tahanan, dakwaan tular disifatkan mengelirukan

KOTA KINABALU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menafikan dakwaan yang tular di media sosial mendakwa ramai tahanan warga Filipina meninggal dunia akibat kesesakan di depot tahanan imigresen di negeri ini.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata dakwaan tersebut adalah tidak benar, tidak berasas dan mengelirukan. Beliau turut menjelaskan bahawa gambar yang tular bersama dakwaan itu bukan dirakam di mana-mana depot tahanan imigresen di Sabah.

Menurutnya, semua tahanan warga Filipina yang ditempatkan di depot tahanan imigresen di Sabah berada dalam keadaan baik sementara menunggu proses penghantaran pulang ke negara asal.

“Sepanjang tempoh tahanan, mereka diberikan penjagaan dan perlindungan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua tahanan menerima keperluan asas termasuk makanan yang disediakan mengikut jadual tetap dan memenuhi piawaian pemakanan yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi golongan dewasa dan kanak-kanak.

Selain itu, katanya, tahanan turut diberikan akses kepada rawatan perubatan serta keperluan lain yang diperlukan.

Mengulas mengenai kelewatan proses penghantaran pulang, Sitti Saleha berkata laluan laut dari Sandakan ke Zamboanga, yang merupakan laluan utama, telah digantung oleh pihak berkuasa Filipina sejak Februari lalu.

Bagi memastikan proses repatriasi dapat diteruskan, Jabatan Imigresen Sabah kini menggunakan laluan alternatif iaitu penerbangan dari Kota Kinabalu ke Manila serta laluan laut dari Lahad Datu ke Bongao.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa penghantaran pulang melalui laluan alternatif itu tertakluk kepada persetujuan keluarga tahanan untuk menanggung kos perjalanan.

Beliau menegaskan Jabatan Imigresen Sabah kekal komited dalam memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan semua tahanan terus terpelihara, di samping melaksanakan proses penghantaran pulang mengikut peruntukan undang-undang serta dengan kerjasama rapat pihak berkuasa Filipina.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat, gambar atau kandungan yang tidak disahkan. Sebaliknya, mereka digesa merujuk saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih.

– NST