Kuala Lumpur – Peluang pendidikan tinggi untuk anak muda Sabah terus menjadi agenda utama apabila Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim, di Bangunan Parlimen, hari ini.
Menerusi perkongsian di Facebook rasmi beliau, Nizam berkata pertemuan tersebut bertujuan membincangkan potensi kerjasama yang lebih erat antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah dalam memperkasa pembangunan belia di negeri ini.
Menurut beliau, perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memastikan lebih ramai anak muda Sabah mendapat akses kepada pendidikan tinggi, pembangunan bakat serta peluang meningkatkan kemahiran selaras dengan keperluan masa hadapan.
Antara perkara yang dibincangkan ialah potensi memperluaskan manfaat Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK) kepada golongan belia yang layak di Sabah.

“Inisiatif ini diharap dapat membantu lebih ramai anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah untuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi tanpa dibebani kekangan kewangan,” katanya.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai potensi Tawau untuk dibangunkan sebagai koridor pendidikan tinggi di Pantai Timur Sabah.
Menurut Nizam, kedudukan Tawau yang strategik serta pembangunan yang semakin pesat menjadikan daerah itu mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai pusat pendidikan tinggi yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat di Pantai Timur Sabah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Adam Adli atas kesudian menerima kunjungan tersebut dan berharap perbincangan itu menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
“Semoga perbincangan ini menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat demi memperkasa belia Sabah melalui pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan,” katanya.
Sumber: Facebook rasmi Datuk Nizam Abu Bakar Titingan