Presiden NGO Sabah ditahan SPRM, disyaki seleweng peruntukan dewan RM2 Juta

Presiden NGO Sabah ditahan SPRM, disyaki seleweng peruntukan dewan RM2 Juta

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini yang disyaki menyalahgunakan kuasa membabitkan penyelewengan peruntukan pembinaan sebuah dewan bernilai kira-kira RM2 juta.

Menurut sumber, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada 2022 dengan menyeleweng peruntukan yang diperoleh daripada Kementerian Kewangan bagi pembinaan sebuah dewan kebudayaan dan galeri di Sabah.

Difahamkan, suspek mengemukakan permohonan bagi mendapatkan peruntukan berkenaan sebelum bertindak melaksanakan sendiri projek pembinaan dewan tersebut tanpa persetujuan Ahli Majlis Tertinggi pertubuhan yang diwakilinya.

Tindakan itu dipercayai menjadi antara fokus utama siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM bagi mengenal pasti sama ada berlaku penyalahgunaan kuasa dalam pengurusan projek berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana menyalahgunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa suspek dijangka akan dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Khamis bagi menghadapi pertuduhan berkaitan kes berkenaan.

“Suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Khamis,” katanya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009, yang melibatkan kesalahan menyalahgunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan. Siasatan lanjut masih diteruskan oleh SPRM Sabah.