Kren Baharu Pelabuhan Tawau Bantu Atasi Kelewatan Kontena, Bekalan Barang Dijangka Lebih Lancar – Andi Suryady

Kren Baharu Pelabuhan Tawau Bantu Atasi Kelewatan Kontena, Bekalan Barang Dijangka Lebih Lancar – Andi Suryady

TAWAU – Pelabuhan Tawau terus diperkasakan dengan pemasangan dua kren baharu yang dijangka mula beroperasi pada September ini, sekali gus dijangka meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan serta merancakkan aktiviti perdagangan di Pantai Timur Sabah.

Majlis Perasmian Kren Baharu Pelabuhan Tawau telah berlangsung dengan jayanya pada 2 Ogos 2026 di Jeti Utama Pelabuhan Tawau dan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor.May be an image of text

Sementara itu, Ahli Parlimen Kalabakan, YB Datuk Andi Suryady Bandy, ketika dihubungi TawauKini sebelum ini berkata, penambahan dua kren moden yang diimport khas dari China merupakan satu langkah penting bagi mengatasi masalah kelewatan operasi yang sekian lama dihadapi pelabuhan tersebut.

Menurut beliau, sebelum ini Pelabuhan Tawau hanya bergantung kepada sebuah kren yang kerap mengalami kerosakan sehingga menjejaskan proses pemunggahan dan pemuatan kontena.

“Pelabuhan Tawau bukan sahaja mempunyai kedudukan strategik sebagai pelabuhan laut dalam, tetapi juga berpotensi menjadi pemacu utama ekonomi Pantai Timur Sabah. Dengan adanya dua kren baharu ini, urusan pemunggahan dan pemuatan kontena akan menjadi lebih cepat dan efisien,” katanya.

Beliau menjelaskan, kelewatan operasi sebelum ini menyebabkan kapal-kapal terpaksa menunggu lama untuk berlabuh bagi menurunkan kargo, sekali gus meningkatkan tempoh penghantaran barangan import.

Menurutnya, keadaan itu turut menyebabkan syarikat perkapalan dikenakan caj tambahan kerana kontena berada lebih lama di laut, sebelum kos tersebut akhirnya dipindahkan kepada pengguna.

“Kelewatan menurunkan kargo menyebabkan bekalan bahan binaan, perabot dan pelbagai barangan import lambat tiba di pasaran. Apabila bekalan berkurangan, harga barang meningkat dan projek pembangunan juga boleh terganggu akibat kekurangan stok,” katanya.May be an image of one or more people and text

Beliau berkata, penggunaan kren baharu berteknologi moden dijangka dapat mempercepatkan pengendalian kontena, mengurangkan masa menunggu kapal serta meningkatkan kecekapan keseluruhan operasi pelabuhan.

Tambah beliau, kelancaran operasi pelabuhan bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor logistik, malah mampu merangsang pertumbuhan perdagangan, pelaburan dan rantaian bekalan di Tawau serta seluruh Pantai Timur Sabah.

Dalam pada itu, Andi berkata Sabah perlu memanfaatkan kedudukannya yang berhampiran dengan pasaran serantau yang dianggarkan mempunyai lebih 80 juta penduduk, meliputi Sulawesi, Kalimantan dan Mindanao.

Katanya, pasaran tersebut membuka peluang besar kepada usahawan tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), untuk memperluaskan eksport produk ke negara jiran tanpa hanya bergantung kepada pasaran domestik.

“Apabila operasi pelabuhan menjadi lebih lancar, urusan import dan eksport juga akan menjadi lebih cekap. Produk tempatan berpotensi menembusi pasaran serantau, sekali gus memberi limpahan manfaat kepada usahawan dan merancakkan ekonomi Pantai Timur Sabah,” katanya.