Jerebu: Sampai tahap IPU tertentu, aktiviti sekolah perlu dihentikan – KPM

Jerebu: Sampai tahap IPU tertentu, aktiviti sekolah perlu dihentikan – KPM

KUALA LUMPUR – Jerebu dan cuaca panas bukan lagi sekadar gangguan kepada aktiviti persekolahan apabila Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua institusi pendidikan di bawahnya menghentikan aktiviti luar bilik darjah sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.

jerebu

Arahan itu meliputi aktiviti sukan, kokurikulum dan kegiatan luar bangunan, termasuk aktiviti keramaian serta sukan di kawasan terbuka. Bagi bacaan IPU melebihi 200 pula, semua sekolah di kawasan atau daerah berkenaan hendaklah ditutup serta-merta.

Bagi bacaan melebihi 500, guru dan kakitangan tidak perlu hadir ke sekolah, manakala sekolah hanya boleh dibuka semula apabila bacaan IPU turun di bawah 200 dan trend bacaan menunjukkan penurunan.

jerebu

Dalam kenyataan bertarikh 26 Ogos 2026, KPM turut mengingatkan JPN, PPD dan semua institusi pendidikan supaya memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa, selain memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi serta mengambil langkah melindungi murid daripada kesan jerebu dan cuaca panas.

Bagi acara sukan yang sedang berlangsung termasuk di peringkat MSSM dan BPI, lokasi pertandingan akan diselaraskan ke kawasan yang lebih selamat atau dijalankan secara tertutup sekiranya perlu berdasarkan bacaan IPU semasa. KPM menegaskan aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan warga pendidikan terus menjadi keutamaan.