Tidak sempat sampai destinasi, Pegawai Trafik Udara CAAM Tawau maut dalam kemalangan

Tidak sempat sampai destinasi, Pegawai Trafik Udara CAAM Tawau maut dalam kemalangan

TAWAU: Perjalanan seorang Pegawai Trafik Udara di Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Tawau berakhir dengan tragedi apabila motosikal Yamaha RXZ yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Toyota Camry di Batu 3, Jalan Apas, pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, mangsa, lelaki warga tempatan berusia 55 tahun, mengalami kecederaan di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh Pegawai Perubatan Ambulans Hospital Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan berkenaan bergerak dalam arah yang sama ketika kejadian.

Menurut beliau, Toyota Camry dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun dari arah Kampung Titingan menuju ke Batu Payung, manakala mangsa menunggang Yamaha RXZ dari arah Bandar Tawau menuju ke Taman Millenium.

“Ketika Toyota Camry berada di kawasan lampu isyarat Batu 3 dan lampu bertukar daripada merah kepada hijau, pemandu meneruskan perjalanan secara perlahan.

“Pada masa sama, motosikal mangsa berada di sebelah Toyota Camry sebelum dipercayai hilang keseimbangan akibat keadaan permukaan jalan yang tidak sama aras,” katanya dalam kenyataan media.

Lorong baharu diturap dipercayai jadi faktor

ACP Rosdi berkata, pemeriksaan awal mendapati lorong sebelah kanan jalan baru diturap dan mempunyai aras lebih tinggi berbanding lorong sebelah kiri yang masih belum diturap.

Keadaan permukaan jalan yang tidak sama aras itu dipercayai menyebabkan mangsa hilang keseimbangan sebelum terjatuh di hadapan Toyota Camry.

“Pemandu Toyota Camry tidak sempat membrek lalu menyebabkan mangsa dan motosikalnya terperosok di bawah bahagian hadapan kenderaan,” katanya.

Pemandu Toyota Camry bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tawau, manakala bedah siasat dijadualkan pada jam 9 pagi hari ini di Jabatan Forensik Hospital Tawau.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Joseph Jelian, di talian 016-806 7272 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Tragedi itu sekali lagi mengingatkan pengguna jalan raya bahawa perubahan keadaan permukaan jalan, khususnya di kawasan yang sedang menjalani kerja penurapan, memerlukan perhatian dan kewaspadaan tinggi daripada semua pihak.

Buat sementara ini, siasatan polis diteruskan bagi menentukan keadaan sebenar yang membawa kepada kemalangan maut berkenaan.