KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah menyalurkan insentif khas sebanyak RM10,000 kepada atlet angkat berat negeri, Irene Jane Henry, sebagai tanda penghargaan atas kejayaannya memenangi pingat gangsa pada temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata insentif itu melengkapkan ganjaran RM20,000 yang akan diterima Irene daripada Majlis Sukan Negara (MSN), menjadikan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai yang diterimanya sebanyak RM30,000.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menghargai atlet Sabah yang berjaya mengharumkan nama negeri dan negara di pentas antarabangsa.
“Sudah semestinya atlet yang mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa sama ada memenangi pingat emas, perak atau gangsa akan menerima insentif daripada Kerajaan Sabah.
“Difahamkan Irene akan menerima RM20,000 daripada Majlis Sukan Negara, manakala Kerajaan Sabah akan menambah RM10,000 lagi. Ini bermakna beliau akan menerima keseluruhan RM30,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyambut kepulangan Irene di Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Nizam berkata kejayaan Irene bukan sahaja hasil latihan dan komitmen tinggi atlet itu, malah didorong sokongan padu daripada ibu bapa, keluarga serta pelbagai agensi sukan termasuk Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan MSN Sabah.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Irene dan seluruh keluarganya. Kejayaan ini bukan sahaja hasil latihan beliau yang begitu gigih, tetapi juga hasil sokongan daripada kedua-dua ibu bapa, keluarga serta agensi-agensi sukan yang sentiasa membantu perkembangan atlet,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Irene dijangka melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM), sekali gus membuktikan kecemerlangan dalam bidang akademik dan sukan mampu dicapai secara seiring.
Menurut Nizam, sekiranya lebih ramai ibu bapa di Sabah memberikan sokongan seperti yang diterima Irene, negeri ini berpotensi melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia.
“Saya yakin jika mentaliti dan sokongan keluarga seperti ini dapat dicontohi oleh masyarakat di Sabah, kita bukan sahaja mampu melahirkan juara di peringkat negeri dan kebangsaan, malah atlet yang mampu bersaing di pentas dunia,” katanya.
Kejayaan Irene memenangi pingat gangsa dalam acara angkat berat wanita kategori 48 kilogram turut mencipta sejarah apabila menamatkan penantian 16 tahun Malaysia untuk meraih pingat wanita dalam sukan angkat berat di temasya Sukan Komanwel.