KOTA KINABALU, 22 September 2026 – Pemimpin belia Sabah berusia 18 tahun, Ryan Yong Zhe Jia, menggesa Kerajaan Persekutuan melaksanakan reformasi struktur berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk meningkatkan perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat.
Menurut Ryan Yong, Sabah dan Sarawak ketika ini hanya mempunyai 56 daripada keseluruhan 222 kerusi Dewan Rakyat, iaitu 25 kerusi bagi Sabah dan 31 bagi Sarawak, berbanding 166 kerusi di Semenanjung. Beliau berpandangan nisbah berkenaan perlu diberi perhatian dalam usaha memastikan kedudukan politik Malaysia Timur lebih seimbang dalam proses pembuatan keputusan negara.
Isu itu kini kembali menjadi perhatian susulan keputusan Kabinet pada September ini untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat pada prinsipnya selaras dengan semangat MA63, namun jumlah tambahan kerusi serta mekanisme pelaksanaannya masih perlu dibincangkan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kerajaan negeri dan parti politik.

Ryan Yong turut mempersoalkan alasan bahawa pertambahan kerusi perlu semata-mata berdasarkan jumlah penduduk, dengan berhujah bahawa faktor pembangunan, geografi dan agihan sumber turut perlu dipertimbangkan dalam menentukan representasi Sabah dan Sarawak.
Beliau juga menyifatkan keperluan memastikan suara Borneo lebih seimbang sebagai sebahagian daripada usaha mengembalikan semangat perkongsian ketika pembentukan Malaysia.
Beliau bagaimanapun mahu tuntutan itu bergerak lebih jauh dengan mencadangkan model perkongsian kuasa 50-50 serta perubahan terhadap kedudukan Sabah dan Sarawak dalam struktur Persekutuan.
Katanya, generasi muda Borneo tidak seharusnya hanya bergantung kepada janji politik, sebaliknya mahukan pembaharuan struktur yang dianggap lebih mencerminkan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan dalam pembentukan Malaysia.
Dari sudut proses, dakwaan bahawa persempadanan semula mengambil masa sehingga lapan tahun perlu diperjelaskan. SPR menyatakan kajian semula persempadanan hanya boleh dimulakan selepas sekurang-kurangnya lapan tahun daripada kajian terdahulu, manakala kajian yang telah dimulakan perlu disiapkan dalam tempoh tidak melebihi dua tahun.
Penambahan jumlah kerusi pula memerlukan pindaan Perlembagaan sebelum proses persempadanan dapat dilaksanakan. (Election Commission of Negeri Perak)
#TawauKini