Helikopter Medic-3 Terhempas Di Long Lellang, Lima Individu Masih Dicari

Helikopter Medic-3 Terhempas Di Long Lellang, Lima Individu Masih Dicari

MIRI – Sebuah helikopter jenis BO-105 milik Layang-Layang Aerospace dilaporkan terhempas dan terbakar sepenuhnya berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang (STOLport), Ulu Baram, Sarawak, petang ini.

Helikopter dengan nombor pendaftaran 9M-LLF itu dipercayai membawa lima individu termasuk juruterbang dan merupakan pesawat yang digunakan bagi perkhidmatan doktor udara menggunakan tanda panggilan MEDIC-3.

Menurut laporan Astro Awani dan Berita Harian, kejadian berlaku kira-kira 3.40 petang, dengan pasukan penyelamat dan perubatan dilaporkan tiba di lokasi sekitar 3.46 petang.

Berdasarkan maklumat awal, helikopter berkenaan terhempas di penghujung landasan sebelum terbakar.

Lima individu yang dikenal pasti berada dalam helikopter itu ialah Kapten Zainol, Dr Ainul, PPP Alexson Adit, SN Debra Moset dan SN Jessie Paya.

Bagaimanapun, status kesemua individu berkenaan masih belum diketahui, manakala operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Menurut sumber Kementerian Kesihatan (KKM) yang dipetik Berita Harian, helikopter itu terbakar sepenuhnya selepas terhempas dan usaha memadam kebakaran dijalankan oleh pasukan bomba lapangan terbang.

Terdapat kemungkinan individu terbabit sempat menyelamatkan diri atau terkeluar dari helikopter sebelum pesawat itu terhempas, namun perkara berkenaan masih belum dapat disahkan dan menjadi sebahagian daripada siasatan.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan menerima maklumat mengenai kejadian pada 3.58 petang.

CAAM berkata, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan mengikut Bahagian 26 (XXVI) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Kawasan kejadian turut dikawal bagi menjamin keselamatan serta memberi laluan kepada pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Perkembangan lanjut mengenai keadaan lima individu terbabit masih dinantikan.