55 aduan buli diterima Tribunal – Kerajaan perkukuh usaha membanteras buli

55 aduan buli diterima Tribunal – Kerajaan perkukuh usaha membanteras buli

KUALA LUMPUR – Sebanyak 55 aduan buli telah diterima Tribunal bagi Antibuli (TAB), dengan lima kes telah diputuskan melalui award, ketika kerajaan memperkukuh usaha membanteras gejala buli menerusi program literasi berkaitan Akta Antibuli 2026 (Akta 876).

Usaha tersebut diteruskan menerusi pelancaran Program Literasi Akta Antibuli 2026 dan Peranan Tribunal bagi Antibuli (TAB) di Maktab Tentera Diraja (MTD), Sungai Besi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.

Program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat, khususnya generasi muda, mengenai perlindungan yang tersedia di bawah Akta 876 serta fungsi dan peranan TAB.

Masyarakat diberi kefahaman mengenai Akta 876

buli buli

Gambar : Kenyataan Media Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang – Undang dan Reformasi Institusi)

Menerusi program literasi itu, masyarakat diberikan penerangan mengenai tatacara membuat aduan, proses pendengaran dan bentuk remedi kepada mangsa.

Akta 876 dan TAB menyediakan mekanisme khusus bagi menangani kes buli melalui pendekatan restoratif yang lebih cepat dan kos efektif, selain memberi penekanan kepada perlindungan dan pemulihan mangsa.

Lima kes diputuskan melalui award

Sehingga 22 September 2026, TAB telah menerima 55 aduan, dengan lima kes telah diputuskan melalui award.

Antara award yang diberikan termasuk permohonan maaf kepada mangsa, penyertaan dalam program kaunseling serta pembayaran ganti rugi sebanyak RM2,000 dalam satu kes.

Perkara itu mencerminkan pendekatan TAB yang bukan semata-mata berorientasikan hukuman, sebaliknya turut menekankan pemulihan mangsa dan pembetulan tingkah laku pelaku.

Keberkesanan usaha turut bergantung kepada masyarakat

Selain kerangka perundangan, keberkesanan langkah menangani buli turut bergantung kepada keberanian masyarakat untuk bersuara dan bertindak.

Mangsa diseru tampil mendapatkan bantuan, manakala mereka yang menyaksikan kejadian buli pula hendaklah berani bersuara kerana buli bukanlah satu gurauan dan tidak boleh dinormalisasikan dalam apa jua keadaan.

Kerajaan terus perkukuh pencegahan dan pendidikan

Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh usaha pencegahan dan pendidikan serta menjamin mangsa mendapat akses kepada perlindungan dan keadilan menerusi sesi literasi seperti itu.

Usaha tersebut turut bertujuan meningkatkan kefahaman mengenai hak mangsa, saluran perlindungan dan tanggungjawab bersama dalam membanteras buli, selaras dengan usaha merealisasikan #GenerasiTanpaBuli.