KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan bahawa kesesakan penjara ketika ini berpunca daripada gabungan penghuni yang telah disabitkan kesalahan dan tahanan reman yang masih menunggu proses perbicaraan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Malaysia kini mempunyai 41 penjara yang menempatkan kira-kira 93,000 penghuni, berbanding kapasiti keseluruhan sekitar 75,000 orang.
Menurut beliau, gabungan kedua-dua kategori penghuni berkenaan menjadi antara faktor yang menyumbang kepada isu kesesakan penjara.

“Gabungan dua ini, sabitan dan reman, menyumbang kepada kesesakan penjara kita,” katanya.
Saifuddin menjelaskan, banduan sabitan merujuk kepada individu yang telah melalui proses pengadilan dan disabitkan kesalahan sebelum menjalani hukuman yang ditetapkan.
Sementara itu, tahanan reman terdiri daripada individu yang masih menunggu penyelesaian proses perbicaraan. Mereka termasuk individu yang tidak dibenarkan diikat jamin atau tidak berupaya menyediakan wang jaminan, menyebabkan mereka ditempatkan di penjara sementara menunggu prosiding mahkamah.
Dalam usaha menangani isu berkenaan, cadangan mewujudkan mekanisme tahanan rumah turut dibincangkan, khususnya bagi tahanan reman yang memenuhi syarat tertentu.
Menurut Saifuddin, konsep yang dibincangkan membolehkan mahkamah mempertimbangkan penempatan tahanan reman yang layak di rumah sehingga tarikh perbicaraan, dengan pergerakan mereka dipantau menggunakan peranti elektronik.
Beliau sebelum ini menjelaskan bahawa cadangan berkenaan bukan bertujuan untuk semua kategori kes, dengan kes jenayah berat dikenal pasti untuk dikecualikan daripada mekanisme tersebut.
Saifuddin turut memaklumkan bahawa Kabinet telah memberikan persetujuan secara dasar kepada KDN untuk memulakan proses menggubal dan membentangkan Rang Undang-Undang Tahanan Rumah di Parlimen.
Cadangan itu dilihat dalam konteks usaha menangani kesesakan penjara, selain memastikan pengurusan sistem koreksional dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Bagaimanapun, pelaksanaan mekanisme berkenaan tertakluk kepada kerangka perundangan yang akan digubal serta pertimbangan mahkamah terhadap tahanan yang memenuhi syarat ditetapkan.