Paras Sungai Tawau Kritikal, Bekalan Air Dicatu Mulai 7 September

Paras Sungai Tawau Kritikal, Bekalan Air Dicatu Mulai 7 September

TAWAU – Penduduk di beberapa kawasan di Tawau bakal berdepan catuan bekalan air susulan paras Sungai Tawau yang semakin kritikal akibat cuaca panas dan taburan hujan yang berkurangan.

Jabatan Air Sabah memaklumkan keadaan itu menyebabkan pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Utara merosot sehingga hanya sekitar 30 peratus daripada pengeluaran normal harian.

Menerusi notis yang dikeluarkan Jabatan Air Sabah, catuan bekalan air mula dilaksanakan 7 September 2026 sehingga paras air sungai kembali normal, dengan jadual tertakluk kepada perubahan semasa operasi LRA Utara dan paras Sungai Tawau.

No photo description available.

Bagi tempoh 6 petang hingga 6 pagi, kawasan yang tidak menerima bekalan air semasa catuan melibatkan Taman Bintang, Taman BDC, Taman Megah Jaya, 1 Arena, Kubota Square, Kubota Central, Bataras, Perdana Square, Leeka Light Industri, kuarters dan pejabat JKR serta kawasan sepanjang Jalan Apas Batu 2½ hingga Batu 5.

Dalam tempoh sama, bekalan air disalurkan ke beberapa kawasan lain termasuk Taman Millenium, Kolej Tingkatan 6, SK Sentosa, SMK Jambatan Putih, Taman Kinabutan Ria, keseluruhan kawasan Ranggu, Batu 8 Jalan Tiku, Kau Sing serta sepanjang Jalan Apas Batu 5 hingga ke BSI.

Menurut Jabatan Air Sabah Bahagian Tawau, keadaan paras Sungai Tawau yang menghampiri tahap kritikal turut menyebabkan beberapa kawasan sekitar Jalan Timur, Jalan Apas Batu 3 sehingga BSI, Jalan Tiku, Ranggu dan Tinagat mengalami tekanan air rendah serta terputus bekalan.

Sehubungan itu, Jabatan Air Sabah turut meneruskan penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki bagi membantu penduduk di kawasan yang terjejas.

May be an image of ticket stub and text

Dalam perkembangan sama, LRA Cinta Mata dan LRA Apas Balung masih beroperasi pada kadar normal, menurut makluman terbaharu Jabatan Air Sabah Bahagian Tawau.

Jabatan Air Sabah menasihatkan pelanggan di kawasan terlibat supaya menyimpan bekalan air secukupnya dan berjimat cermat dalam penggunaan air harian sepanjang tempoh gangguan.

Orang ramai juga diminta mengambil perhatian bahawa jadual catuan yang dikeluarkan adalah sebagai panduan dan boleh berubah mengikut keadaan semasa operasi LRA Utara serta paras Sungai Tawau.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Hotline Tawau di 089-502666, manakala perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh Jabatan Air Sabah.