Pengasas Maskur, Haji Kure Kembali Ke Rahmatullah

Pengasas Maskur, Haji Kure Kembali Ke Rahmatullah

TAWAU – Pengasas jenama restoran sup terkenal di Tawau, Haji Kure Bin Bennu dilaporkan telah kembali ke rahmatullah pada 11.25 pagi hari ini, Selasa, 15 September 2026.

Perkara itu dikongsikan oleh anak Allahyarham menerusi Facebook rasminya, Maskur Fidzwan Kure, yang memaklumkan berita pemergian tersebut sambil memohon doa agar segala amal kebaikan Allahyarham diterima Allah SWT.

“Innalillahiwainnailaihirojiun. Ayah kami Hj Kure telah kembali kepada penciptanya pada 11.25 pagi hari ini. Semoga Allah menerima segala amal kebaikan dan menempatkan arwah di syurga yang paling terbaik.

“Al-Fatihah,” menurut perkongsian tersebut.

Allahyarham Haji Kure merupakan individu di sebalik Maskur, jenama restoran yang telah lama bertapak di Tawau dan dikenali khususnya menerusi hidangan sup tulang yang menjadi antara menu sinonim dengan restoran berkenaan.

Maskur juga terus berkembang sebagai jenama tempatan dengan mempunyai beberapa cawangan di Tawau, menjadikannya antara nama yang tidak asing dalam kalangan penggemar hidangan sup di daerah ini.

Pemergian Allahyarham pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, sahabat, warga kerja serta pelanggan yang mengenali beliau dan perjalanan Maskur sejak sekian lama.

Bagi masyarakat Tawau, nama Haji Kure bukan sekadar dikaitkan dengan sebuah perniagaan makanan, tetapi turut menjadi sebahagian daripada kisah perkembangan sebuah jenama tempatan yang sudah lama bertapak di daerah ini.

Warga TawauKini merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Haji Kure Bin Bennu.

Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa dan kesilapan Allahyarham, menerima segala amal kebajikan, melimpahkan rahmat ke atas rohnya serta menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

Al-Fatihah.