KUALA LUMPUR: Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang, memandang serius kontroversi berhubung ucapan yang menjadikan paderi Katolik dan biarawati sebagai bahan jenaka ketika Perhimpunan Agung UMNO 2026.
Beliau menegaskan bahawa perkara berkaitan institusi keagamaan, agamawan, kitab suci dan kepercayaan mana-mana penganut perlu dihormati serta tidak seharusnya dijadikan bahan gurauan, tanpa mengira niat di sebalik sesuatu analogi.
Menurut beliau, Malaysia merupakan sebuah negara yang dihuni masyarakat daripada pelbagai agama, budaya dan kepercayaan, justeru terdapat batas sensitiviti yang perlu sentiasa dipelihara.

“Agama bukan bahan jenaka. Perkara yang mempunyai nilai suci dan dihormati oleh sesuatu komuniti tidak wajar dipersenda, dijadikan bahan gurauan berunsur seksual atau digunakan semata-mata untuk mendapatkan gelak ketawa dan tepukan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Aaron berkata, tindakan yang menyentuh sensitiviti agama berpotensi menyinggung perasaan penganut serta menjejaskan keharmonian yang telah dibina dalam masyarakat.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa kebebasan untuk berucap, berpolitik atau berjenaka tidak bermaksud seseorang bebas mengetepikan sensitiviti agama dan kepercayaan orang lain.
Katanya, prinsip menghormati sensitiviti agama perlu diterapkan kepada semua pihak tanpa mengira agama, kaum, kedudukan mahupun fahaman politik.
Sehubungan itu, Aaron memohon kementerian serta agensi penguatkuasaan berkaitan meneliti perkara berkenaan dan menjalankan siasatan sewajarnya sekiranya terdapat unsur pelanggaran undang-undang.
Antara peruntukan yang disebut ialah Seksyen 298 dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan [Akta 574], selain peruntukan berkaitan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
Beliau turut mengambil maklum kesediaan individu terbabit untuk memohon maaf dan berharap kontroversi berkenaan menjadi pengajaran kepada semua pihak.
Menurutnya, pemimpin, penceramah dan masyarakat perlu lebih berhati-hati dalam memilih kata-kata, khususnya apabila menyentuh perkara berkaitan agama dan kepercayaan.
Aaron berkata, pendirian itu juga selaras dengan prinsip kelima Rukun Negara, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan, yang menuntut setiap rakyat menjaga adab, tutur kata dan tingkah laku dalam kehidupan bermasyarakat.
Dalam negara yang mempunyai kepelbagaian agama dan budaya, katanya, prinsip berkenaan merupakan asas penting bagi memastikan perbezaan dihormati, sensitiviti dipelihara dan keharmonian masyarakat terus dipertahankan.