TAWAU – Sebanyak 40 penghuni rumah warga emas menerima sumbangan menerusi Program Ziarah Warga Emas Tawau: Santunan Kasih Maulidur Rasul SAW 1448H/2026M Peringkat Perbandaran Tawau bertempat di Rumah Warga Emas Jalan Air Panas.
Isteri kepada Menteri Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, YBhg. Datin Hajah Wahida Mardiana Norsalim, berkata program seumpama itu wajar diteruskan sebagai tanda penghargaan kepada golongan warga emas yang telah banyak menyumbang kepada keluarga dan masyarakat.

Menurut beliau, golongan warga emas perlu diberikan perhatian agar mereka sentiasa berasa dihargai dan disayangi.
“Alhamdulillah, program sebegini merupakan program yang sangat dialu-alukan dan sangat digalakkan. Sebab kita akan tua juga dan kita perlulah bersyukur serta memberikan mereka rasa dihargai dan disayangi,” katanya.
Beliau berkata, seramai 40 penghuni rumah warga emas menerima sumbangan yang disalurkan oleh Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, berupa wang tunai serta barangan makanan.
Sementara itu, Presiden Majlis Perbandaran Tawau merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pelaksana Sambutan Maulidur Rasul SAW 1448H/2026M, Mohd Shoffian Mohd Said, berkata program ziarah berkenaan merupakan salah satu aktiviti yang dianjurkan sepanjang bulan sambutan Maulidur Rasul.

Katanya, program itu menjadi wadah untuk mendekati serta menyantuni golongan warga emas dalam suasana penuh kasih sayang dan keprihatinan.
“Pada hari ini, sebagaimana yang dimaklumkan, kita telah menziarahi seramai 40 orang warga emas di rumah ini,” katanya.
Program berkenaan sekali gus mencerminkan semangat Santunan Kasih Maulidur Rasul, dengan memberi perhatian kepada golongan warga emas serta memastikan mereka tidak dilupakan dalam sambutan yang penuh makna itu.