KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 44 tahun maut selepas tersepit dalam sebuah Toyota Hilux dalam kemalangan membabitkan lapan kenderaan di jejambat menghala ke Luyang, di sini, pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6.33 pagi dan membabitkan tujuh kenderaan serta sebuah motosikal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan anggota dari balai berkenaan dikerahkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pasukan bomba tiba kira-kira jam 6.41 pagi dan mendapati kemalangan berkenaan membabitkan keseluruhan lapan kenderaan.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit di dalam Toyota Hilux menggunakan peralatan khas penyelamatan.
“Mangsa berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Sherriyana berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat turut mendapat bantuan daripada tiga anggota PDRM dan tiga anggota KKM.
Selepas memastikan keadaan di lokasi kejadian berada dalam keadaan selamat, operasi ditamatkan pada jam 7.55 pagi.
Kes berkenaan diserahkan kepada PDRM untuk siasatan lanjut.
Sumber : Page Facebook Polis Daerah Kota Kinabalu