‘Tidak perlu cepat melatah’ – PAS Sabah jawab Masiung, nyata sokongan tambah kerusi parlimen di Sabah

‘Tidak perlu cepat melatah’ – PAS Sabah jawab Masiung, nyata sokongan tambah kerusi parlimen di Sabah

KOTA KINABALU, 21 September 2026 – PAS Sabah menegaskan parti itu menyokong cadangan penambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak, selain meminta Datuk Masiung Banah supaya tidak cepat melatah berhubung kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari.

Ketua Penerangan PAS Sabah, Mustaman Mustain berkata, kenyataan Ahmad Fadhli mengenai cadangan penambahan kerusi Parlimen sebelum ini telah disalah fahami oleh Masiung.

Menurutnya, PAS tidak pernah menolak penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, malah Ahmad Fadhli sendiri menyifatkan pertambahan tersebut sebagai sesuatu yang baik dan perlu.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaannya perlu dibuat secara adil serta melalui proses dan rundingan yang sewajarnya.

“Justeru, tidak timbul soal PAS menolak penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak.

“Apa yang PAS tidak persetujui ialah hak dan kepentingan Sabah serta Sarawak dijadikan komoditi jual beli politik, seolah-olah hak Borneo hanya perlu dicari dan disebut ketika kerajaan Persekutuan sedang memerlukan sokongan politik,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mustaman berkata, Sabah dan Sarawak tidak seharusnya dilihat hanya sebagai tempat untuk mendapatkan sokongan ketika kerajaan berdepan keadaan politik yang sukar.

Beliau berkata, pelaksanaan hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sewajarnya dilakukan kerana ia merupakan hak kedua-dua negeri, bukannya atas dasar mendapatkan sokongan politik.

“Jika benar mahu melaksanakan MA63, Kerajaan Persekutuan wajar laksanakan segera kerana ia hak Sabah dan Sarawak, bukan kerana mahu membeli sokongan politik.

“Atas sebab itu, Datuk Masiung tidak perlu cepat melatah atau mengheret kenyataan YB Ustaz Ahmad Fadhli kepada persoalan ‘campur tangan politik Sabah dan Sarawak’,” katanya.

Menurutnya, perkara yang dibangkitkan PAS adalah berkaitan kesungguhan, mekanisme dan jaminan pelaksanaan sesuatu keputusan yang menyentuh kepentingan Sabah dan Sarawak.

Mustaman turut menegaskan PAS Sabah menghormati kematangan rakyat Sabah dan Sarawak dalam menentukan masa depan politik masing-masing.

Pada masa sama, katanya, parti politik lain juga tidak seharusnya dihalang daripada memberikan pandangan terhadap isu nasional yang turut melibatkan hak dan kepentingan Sabah.

“PAS Sabah sentiasa berdiri teguh bagi memastikan MA63 dilaksanakan sepenuhnya termasuk pertambahan kerusi Parlimen.

“MA63 ialah asas pembentukan Malaysia serta hak Sabah dan Sarawak yang wajib dihormati serta dilaksanakan,” katanya.

Beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan menterjemahkan komitmen terhadap MA63 kepada pelaksanaan yang nyata, terukur dan menyeluruh.

#TawauKini