KOTA KINABALU, 31 Mac 2026 – “Apakah kriteria penilaian yang digunakan sehingga mereka mengatasi ribuan rakyat Sabah lain yang berkhidmat bertahun-tahun tanpa gelaran?” demikian persoalan diajukan Presiden Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Fidaa’ bin Ahmad Fahmi melalui satu kenyataan media pada Selasa.
Kenyataan itu merujuk kepada penganugerahan darjah kebesaran Sabah sempena sambutan ulang tahun kelahiran rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, yang menyaksikan beberapa individu mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pimpinan tertinggi negeri menerima darjah kebesaran membawa gelaran “Datuk”.
Menurut beliau, penganugerahan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) kepada anak Yang di-Pertua Negeri serta anak kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menimbulkan persoalan serius berkaitan integriti, meritokrasi dan ketelusan dalam sistem penganugerahan negeri.
Katanya, darjah kebesaran negeri sepatutnya melambangkan pengiktirafan tertinggi terhadap jasa, pengorbanan dan sumbangan luar biasa kepada masyarakat serta pembangunan negeri.
“Namun apabila penerima terdiri daripada individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan langsung dengan pemimpin tertinggi negeri, persepsi awam yang tidak sihat mula timbul,” katanya.
Tambah beliau, isu sebenar bukan sekadar mengenai siapa penerima anugerah tersebut, tetapi mesej yang dihantar kepada rakyat apabila pengiktirafan tertinggi negeri dilihat berkait rapat dengan kedudukan politik dan hubungan keluarga.
Sehubungan itu, Suara Mahasiswa menuntut penjelasan terbuka berhubung beberapa perkara termasuk projek, dasar atau inisiatif besar yang pernah dipelopori penerima anugerah berkenaan untuk Sabah.
Mereka juga mempersoalkan impak langsung kepada rakyat biasa yang boleh diukur, selain kriteria penilaian yang digunakan sehingga individu berkenaan didakwa mengatasi ribuan rakyat Sabah lain yang telah berkhidmat kepada negeri selama bertahun-tahun tanpa menerima gelaran.
“Sekiranya persoalan ini tidak dijawab secara tuntas, maka benarlah naratif awam bahawa penganugerahan darjah ini hanyalah bertujuan mengangkat budaya nepotisme,” katanya.
Suara Mahasiswa turut mengingatkan agar kepercayaan rakyat tidak dicemarkan dengan keputusan yang dilihat hanya menguntungkan kelompok tertentu.



