Menteri Kemajuan Sukan, Pembangunan Belia dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap ADUN Apas, YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata sambutan baik masyarakat terhadap program berkenaan membuktikan kegiatan berteraskan keagamaan masih mendapat tempat dalam kalangan penduduk.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penganjur, Ketua Kampung, Pengerusi JKK serta Pengerusi Masjid Babur Khair Kampung Titingan atas usaha menjayakan program berkenaan.
Menurutnya, pengisian melalui kumpulan marhaban, selawat serta ceramah khas daripada Jabatan Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Tawau dan mudir Madrasah Ad-Diniyyah Ar-Rahmaniyyah, Sungai Imam Tawau, memberikan nilai tambah kepada program.
“Program-program seperti ini adalah satu program yang harus kita dukung dan sokong dan sepatutnya dapat diperbanyakkan lagi, bukan sahaja di Kampung Titingan tetapi di kawasan-kawasan lain di seluruh Perbandaran Tawau,” katanya.
Nizam berkata, program sebegini bukan sahaja dapat meningkatkan pengetahuan berkaitan agama, malah mengingatkan masyarakat mengenai tujuan kehidupan serta kepentingan menghayati ajaran Islam dan teladan yang dibawa Rasulullah SAW.
Selawat sebagai wadah penyatuan
Mengulas kepelbagaian latar belakang masyarakat di Kampung Titingan, Nizam melihat program selawat sebagai salah satu platform yang mampu mendekatkan masyarakat dan memupuk rasa hormat antara satu sama lain.

Katanya, Islam yang dibawa Rasulullah SAW mengajar umatnya mengenai kedamaian, keamanan dan kesejahteraan tanpa mengira warna kulit, suku kaum atau latar belakang.
“Saya yakin program-program seperti Titingan Berselawat ini sudah pasti dapat menghimpunkan warga masyarakat di Kampung Titingan yang berlatar belakang berbeza dan daripada suku kaum yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata, kesatuan masyarakat dapat diperkukuh apabila komuniti mempunyai nilai dan pegangan yang sama, sekali gus membantu mewujudkan suasana kampung yang lebih sejahtera dan harmoni.