ATM Kukuhkan Hubungan Erat Bersama Rakyat, Teguh Pertahan Kedaulatan Negara

TAWAU – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkukuh hubungan erat bersama rakyat menerusi penganjuran Karnival Civil-Military Cooperation (CIMIC) Tawau 2025 yang berlangsung meriah di Kompleks Sukan Tawau. Program dua hari yang dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dengan kerjasama ATM. Program kali ini membawa tema “CIMIC Diperkasa, Kedaulatan Negara Terpelihara”. 

ATM
YB Datuk Khaleed berkunjung ke reruai agensi yang terlibat

Keselamatan Negara Tidak Terletak Di Bahu ATM Semata-Mata

Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucapannya menekankan bahawa soal keselamatan tidak hanya terletak di atas bahu pasukan ATM semata-mata. Sebaliknya, beliau menyatakan bahawa keselamatan adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan penyertaan aktif daripada masyarakat. Pendekatan ini selari dengan konsep whole-of-society dan whole-of-government yang menjadi asas penting dalam mengekalkan kestabilan negara. Katanya lagi, jalinan erat antara tentera dan rakyat perlu dipupuk secara berterusan, dan program seperti Karnival CIMIC menjadi platform terbaik untuk merealisasikan matlamat itu.

Karnival ini mencatatkan kejayaan luar biasa dengan kehadiran lebih 15,000 pengunjung dari sekitar Tawau. Sambutan yang menggalakkan ini membuktikan wujudnya keterbukaan dan minat tinggi dalam kalangan masyarakat terhadap peranan serta tanggungjawab ATM.

Antara tarikan utama ialah demonstrasi keupayaan tempur dan pameran aset ATM. Antaranya ialah persembahan Drumline, Tarian Perang, Kawad Senyap, serta demonstrasi Tempur Tanpa Senjata (TTS) dan pertunjukan terjun bebas Pasukan Elit ATM. Pengunjung turut berpeluang melihat lebih dekat kenderaan perisai AV8 Gempita, HMAV Lipan Bara, serta helikopter Agusta AW139 dan EC725. Selain itu, turut dipamerkan senjata berat seperti Meriam 105mm, Mortar 81mm, dan sistem pelancar STARSTREAK.

Akademi Bola Sepak Tawaukini

Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah

Jambatan Penghubung ATM dan Masyarakat

Majlis turut diserikan dengan kehadiran pimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan dan ATM. Tetamu kehormat yang hadir termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur, Lt. Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi, serta Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Noorrul Azril Ariffin.

YB Dato’ Seri Mohamed Khaled turut memaklumkan bahawa karnival seperti ini akan diteruskan sebagai acara tahunan. Selepas Tawau, dua lagi lokasi sedang dalam perancangan untuk tahun ini di Semenanjung Malaysia. Beliau menzahirkan harapan agar program seperti ini akan terus menjadi jambatan penghubung antara ATM dan masyarakat. Selain itu turut meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

ATM
Sesi sidang media bersama dengan YB Datuk Khaleed Nordin

Karnival CIMIC 2025 bukan sekadar acara pameran dan hiburan semata-mata, tetapi ia merupakan satu manifestasi kepada keutuhan hubungan awam dan tentera. Ia menjadi bukti bahawa kekuatan negara bukan sahaja bergantung kepada kekuatan fizikal dan aset ketenteraan, tetapi turut bergantung kepada solidariti dan sokongan padu daripada rakyat. ATM akan terus berdiri teguh bersama rakyat, memastikan keselamatan negara terpelihara dan masa depan Malaysia kekal aman dan sejahtera.

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *