TAWAU – Masyarakat perlu memberi peluang kedua kepada bekas banduan untuk membina kehidupan baharu dan kembali menyumbang kepada komuniti, tanpa terus dibayangi prasangka terhadap masa lalu mereka.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, YB Datuk Rina Haji Jainal berkata, usaha membantu golongan berkenaan kembali menyesuaikan diri dengan masyarakat memerlukan kerjasama pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pelaksanaan Program Outreach Korektif Tawau anjuran Jabatan Penjara Tawau, yang menghimpunkan pelbagai agensi bagi mengenal pasti prospek berpotensi untuk diberikan peluang pekerjaan.

Menurutnya, program itu bukan sekadar membuka ruang pekerjaan, malah menjadi persediaan kepada prospek untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di luar penjara serta menghadapi perubahan semasa yang berlaku dengan pantas.
“Ini adalah persediaan untuk mereka supaya tidak kekok apabila keluar dari suasana penjara dan dapat berasimilasi dengan masyarakat,” katanya.
Rina berkata, golongan berkenaan juga perlu diberikan ruang untuk membina keyakinan diri dan membuktikan kemampuan mereka menjalani kehidupan yang lebih baik.
Beliau turut menekankan kepentingan kolaborasi antara kerajaan dan syarikat swasta dalam memperluas peluang pekerjaan kepada bekas banduan, termasuk menerusi insentif pengecualian cukai yang dapat menggalakkan lebih banyak syarikat mengambil bahagian dalam program seumpama itu.

Katanya, penglibatan sektor swasta bukan sahaja berpotensi memberi manfaat kepada syarikat, malah membolehkan mereka menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan masyarakat.
Mengulas mengenai enam prospek yang mendapat peluang pekerjaan menerusi program berkenaan, Rina berkata mereka masih berada dalam pemantauan.
Beliau menjelaskan program seumpama itu bukan perkara baharu, namun hebahan lebih meluas penting supaya masyarakat memahami matlamatnya dan bersedia menerima golongan berkenaan apabila mereka kembali ke kawasan tempat tinggal masing-masing.
Justeru, beliau berharap masyarakat dapat mengikis sikap prejudis serta memberikan ruang kepada bekas banduan untuk membuktikan perubahan positif dalam kehidupan mereka.