KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli menyelar tindakan pihak tertentu yang didakwa terus membuat tuduhan tidak berasas terhadap dirinya berhubung isu penyebaran unsur New Age Movement (NAM).
Beliau berkata, sebarang dakwaan atau perkara berbangkit perlu diteliti terlebih dahulu bagi memastikan kebenaran sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
Menurutnya, tindakan menjatuhkan hukuman berdasarkan maklumat daripada sebelah pihak sahaja bukan pendekatan yang adil, terutama apabila individu yang dikaitkan dengan dakwaan berkenaan belum diberikan ruang untuk menjelaskan perkara sebenar.

“Saya berada di Parlimen Tan Sri sampai malam semalam (Selasa)! Tapi tiada usaha daripada pihak (Ahli Parlimen) Pokok Sena untuk berjumpa saya sendiri dan bertanya tentang isu ini.
“Dan saya rasa tidak adil untuk hukum saya hanya berdasarkan cerita sebelah pihak,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Saad@Yahaya (PN-Pokok Sena) yang meminta penjelasan berhubung kontroversi berkenaan.
Jakim sudah adakan sesi tabayyun
Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilaporkan mengadakan sesi tabayyun bersama Marhamah susulan dakwaan yang mengaitkan beliau dengan penyebaran ajaran berkenaan.
Istilah tabayyun merujuk kepada proses menyemak dan mendapatkan kepastian terhadap sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau membuat keputusan mengenainya.
Isu itu turut mencetuskan perbincangan mengenai dakwaan unsur NAM yang dikatakan menyusup melalui seminar motivasi, kursus pembangunan diri dan program kerohanian yang pada zahirnya kelihatan neutral.
Bagaimanapun, dakwaan berkenaan perlu diteliti berdasarkan fakta dan hasil semakan pihak berkenaan.
Seru ahli Parlimen utamakan kepastian
Mengulas lanjut, Marhamah menggesa semua pihak, termasuk ahli Parlimen, supaya mendapatkan penjelasan terlebih dahulu sebelum membuat andaian atau mengeluarkan kenyataan berhubung sesuatu isu.
Beliau berkata, pendekatan mendapatkan kepastian bukan sahaja penting untuk memastikan keadilan, malah mencerminkan nilai akhlak dalam perjuangan.
“Jadi saya ingin mengajak… ayuh kita bertabayun… semoga perjuangan kita bukan hanya sekadar lantang bersuara tapi kita menghidupkan akhlak dalam perjuangan kita,” katanya.
Kenyataan itu menegaskan pendirian beliau bahawa setiap dakwaan perlu ditangani melalui proses semakan dan penjelasan, bukannya penilaian berdasarkan maklumat sebelah pihak.