Penganggur bunuh penebar roti canai dipenjara 35 tahun, 12 sebatan

Penganggur bunuh penebar roti canai dipenjara 35 tahun, 12 sebatan
TAWAU: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Tawau atas pertuduhan membunuh seorang penebar roti canai, tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos menjatuhi hukuman itu terhadap Md Ridzuan Abd Ahmad Zaini Logan, 37, selepas pertuduhan dibacakan, semalam.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Sirlin Salleh, 36, di kawasan semak Kampung Pisang, Lahad Datu, antara jam 6 hingga 8 pagi, 14 November 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan, jika tidak dihukum mati.
Terdahulu ketika prosiding, peguam tertuduh, Kamarudin Mohmad Chinki, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan dengan mengambil kira keputusan anak guamnya mengaku bersalah terhadap kesalahan paling berat di bawah Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, tertuduh yang mempunyai lima anak itu turut rasa kesal atas kematian mangsa dan dengan pengakuan bersalah itu menunjukkan dia bertanggungjawab terhadap perbuatannya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif memohon tertuduh dijatuhi hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dengan mengambil kira keadaan kematian mangsa yang disifatkan amat kejam mengerikan dan tidak berperikemanusiaan.
Beliau berhujah bahawa mangsa dipercayai dipukul sebelum ditarik melalui kawasan semak hingga menyebabkan kecederaan, mulutnya diikat dan lehernya dikelar seperti haiwan.
Mangsa juga baru enam bulan melahirkan anak sebelum kembali bekerja bagi membantu suaminya menambah pendapatan keluarga.
Selepas mendengar hujah kedua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan terhadap tertuduh, berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 17 November 2024.
Berdasarkan fakta kes, mangsa dipercayai keluar dari rumah jam 6.15 pagi untuk ke tempat kerja menerusi laluan yang biasa digunakannya sebelum majikan menghubungi keluarga bagi memaklumkan bahawa mangsa tidak hadir bekerja.
Operasi mencari mangsa kemudian dijalankan dan mangsa ditemukan dalam keadaan separuh bogel di kawasan semak kira-kira 600 meter dari rumahnya.
Pemeriksaan pakar forensik menemukan kesan hentakan objek tumpul pada kepala mangsa, beberapa kesan kelar menggunakan senjata tajam pada leher dan luka di tangan dipercayai dialami ketika cuba mempertahankan diri.