TAWAU – Penduduk di sekitar Masjid Al-Kauthar dan Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Tawau dinasihatkan supaya tidak panik sekiranya terdengar bunyi siren amaran tsunami pada Jumaat, 6 November ini.
Ini berikutan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) akan melaksanakan pengujian siren Sistem Amaran Awal Tsunami Malaysia (SAATNM) di dua lokasi berkenaan bagi tujuan pengujian sistem.

Sumber : MET Malaysia
Menurut makluman MET Malaysia, ujian pertama akan dijalankan di Masjid Al-Kauthar, Tawau bermula jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi.
Manakala ujian kedua dijadualkan berlangsung di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Tawau pada jam 10.30 pagi hingga 12.00 tengah hari.
MET Malaysia turut mengingatkan penduduk di kawasan sekitar supaya tidak panik dengan bunyi siren yang akan kedengaran kerana ia merupakan ujian semata-mata dan bukannya amaran berlakunya tsunami.
Dalam pada itu, pihak MET Malaysia memaklumkan sebarang perubahan atau pindaan berkaitan jadual pengujian tersebut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Penduduk yang berada berhampiran kedua-dua lokasi berkenaan diminta mengambil maklum mengenai jadual ujian itu bagi mengelakkan salah faham atau kebimbangan apabila siren dibunyikan.