TAWAU: Keupayaan anak tempatan mengangkat dasar pembangunan pendidikan Sabah ke peringkat antarabangsa terus membanggakan apabila Fifi Rafiedah Ariff, seorang anak jati Tawau membentangkan model pendidikan negeri itu dalam Persidangan Penyelidikan Antarabangsa UNITAR Ke-4 (4UIRC) di Brussels, Belgium.
Persidangan yang berlangsung pada 18 hingga 19 November 2026 di United Nations House itu menjadi platform untuk Fifi mengetengahkan pendekatan kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan modal insan menerusi agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) dan aspirasi Malaysia MADANI.
Persidangan bertemakan “Educating for Futures” itu menghimpunkan penyelidik serta pemimpin antarabangsa menerusi 24 sesi selari yang membincangkan pelbagai isu, termasuk kepimpinan masa hadapan, keterangkuman, keselamatan insan, keusahawanan belia dan tadbir urus kecerdasan buatan (AI).
Dalam pembentangannya, Fifi mengetengahkan kertas kajian bertajuk “Empowering the Next Generation: Evaluating Sabah’s Educational Assistance Framework under the Sabah Maju Jaya Roadmap (Sustainable Human Capital Development 2021–2026)”.

Kajian itu memberi tumpuan kepada pendekatan kerajaan Sabah dalam menangani cabaran geografi dan jurang digital, khususnya di kawasan luar bandar, melalui pelaksanaan ekosistem bantuan pendidikan bersepadu merangkumi Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) dan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS).
Antara pencapaian yang diketengahkan ialah peningkatan peruntukan BKNS sebanyak 182 peratus kepada RM155 juta pada 2026, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 13,550 pelajar secara kumulatif sejak 2021.
Selain itu, pelaksanaan BUDI dan BAIK dilaporkan membantu meningkatkan kemasukan pelajar daripada golongan B40 di kawasan luar bandar ke institusi pengajian tinggi sebanyak 28 peratus, selain mengurangkan jurang literasi digital di daerah berkeperluan tinggi sebanyak 35 peratus.
Kajian itu turut mengetengahkan peranan TPNS yang membantu 15,629 pelajar meneruskan pengajian menerusi bantuan kecemasan, manakala penekanan terhadap laluan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menyumbang kepada kadar kebolehpasaran graduan tajaan negeri sebanyak 85.4 peratus dalam tempoh 12 bulan selepas tamat pengajian.
Selain pembentangan di persidangan berkenaan, Fifi turut mengadakan lawatan ke Parlimen Eropah (European Parliament) di Brussels bagi melihat secara dekat sistem penggubalan dasar, proses demokrasi serta mekanisme tadbir urus institusi perundangan Kesatuan Eropah.
Pendedahan menerusi persidangan antarabangsa dan lawatan institusi itu disifatkan sebagai pengalaman bernilai dalam memperluas perspektif kepimpinan, khususnya untuk dimanfaatkan dalam pembangunan belia dan masyarakat di Sabah.
AKTIF DALAM KERJA KOMUNITI DAN ANTIDADAH
Selain penglibatan dalam bidang pendidikan dan pembangunan belia, keprihatinan Fifi terhadap kesejahteraan masyarakat turut dizahirkan menerusi usaha kesedaran membanteras penyalahgunaan dadah.
Beliau dilantik sebagai Ikon Antidadah oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Tawau serta Ahli Jawatankuasa (AJK) Skuad Antidadah Negeri Sabah.
Penglibatan aktif beliau dalam pelbagai kempen kesedaran awam menjadikan Fifi antara individu yang turut menyumbang kepada usaha memerangi gejala penyalahgunaan dadah, khususnya dalam kalangan masyarakat di daerah Tawau.
HARGAI SOKONGAN KEPIMPINAN NEGERI
Mengulas penyertaannya, Fifi merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah atas kepimpinan yang terus meletakkan sektor pendidikan sebagai antara keutamaan melalui pelbagai inisiatif dan bantuan bagi memastikan lebih ramai anak negeri mendapat akses kepada pendidikan.
“Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas kepimpinan YAB Ketua Menteri Sabah yang begitu prihatin dan mementingkan masa depan pendidikan generasi muda dengan menyediakan begitu banyak inisiatif serta bantuan pendidikan untuk anak-anak Sabah.
“Saya turut berasa amat bangga apabila rakan-rakan delegasi antarabangsa di persidangan ini sendiri memuji kemuliaan serta visi seorang pemimpin yang benar-benar membela nasib pelajar di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan, serta Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan bagi merealisasikan penyertaannya dalam persidangan berprestij itu.
“Saya amat bersyukur kerana keberadaan saya di 4UIRC ini turut mendapat sokongan daripada barisan kepimpinan negeri serta wakil rakyat. Sokongan mereka menjadi pemangkin semangat untuk saya terus membawa suara belia dan pencapaian Sabah ke peringkat global,” katanya.
Penyertaan Fifi dalam persidangan berkenaan sekali gus memperlihatkan sumbangan anak jati Tawau dalam mengetengahkan usaha pembangunan pendidikan Sabah di pentas antarabangsa, selain membawa aspirasi belia dan masyarakat tempatan ke peringkat lebih luas.