KKM Rampas Ubat Kurus dan Diabetes Tidak Berdaftar Bernilai Lebih RM400,000

KKM Rampas Ubat Kurus dan Diabetes Tidak Berdaftar Bernilai Lebih RM400,000

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas sebanyak 759 unit ubat kawalan berat badan dan anti diabetes tidak berdaftar bernilai keseluruhan RM405,170 dalam operasi penguatkuasaan bagi tempoh 2025 hingga September 2026.

Antara produk yang dirampas termasuk Retatrutide, iaitu ubat percubaan yang belum disenaraikan dalam formulari KKM, serta Ozempic yang mengandungi bahan aktif Semaglutide dan dijual secara tidak sah menerusi platform dalam talian.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan itu susulan peningkatan kegiatan pembekalan dan pembelian ubat daripada kumpulan glucagon-like peptide-1 receptor agonist (GLP-1 RA) tanpa pemantauan klinikal serta kawalan sah pihak berkuasa.

Menurutnya, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM melaksanakan 12 serbuan berkaitan penjualan Retatrutide dalam tempoh berkenaan, dengan 697 unit dirampas membabitkan nilai RM341,000.

Bagi produk Ozempic pula, sebanyak tujuh serbuan dilakukan dan 62 unit dirampas dengan nilai keseluruhan RM64,170.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) berhubung langkah KKM mengawal penjualan ubat berkenaan secara dalam talian tanpa kawalan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dzulkefly menegaskan kementerian akan meneruskan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan ubat tidak sah yang dipromosikan melalui platform e-dagang dan media sosial.

Katanya, langkah lebih tegas perlu diambil bagi memastikan penyalahgunaan platform digital tidak mengancam keselamatan pengguna.

“Kita akan terus memantau secara lebih tegas penyalahgunaan e-dagang dan e-platform ini, sebab pada akhirnya yang kita mahu jaga adalah keselamatan dan nyawa rakyat,” katanya.

240 permohonan rawatan GLP-1 diluluskan

Dalam perkembangan berkaitan, Dzulkefly memaklumkan KKM ketika ini belum menyediakan peruntukan khusus bagi membiayai rawatan menggunakan ubat GLP-1 seperti Ozempic, Tirzepatide dan Mounjaro di bawah Belanjawan 2026.

Bagaimanapun, pesakit yang memerlukan rawatan berkenaan boleh mengemukakan permohonan melalui Unit Ubat Kelulusan Khas (UKK) KKM menggunakan peruntukan sedia ada.

Beliau berkata, sebanyak 240 permohonan rawatan telah diluluskan bagi tempoh Januari hingga September 2026, melibatkan kos keseluruhan RM2.56 juta.

KKM juga akan terus mengemukakan permohonan bagi mendapatkan peruntukan khusus untuk perolehan ubat GLP-1 pada masa hadapan.

Nutri-Grade mandatori dijangka dimuktamadkan

Sementara itu, KKM sedang berada pada peringkat akhir memuktamadkan draf peraturan baharu bagi pelaksanaan sistem penggredan Nutri-Grade secara mandatori, berdasarkan kandungan jumlah gula dalam minuman.

Draf peraturan itu dijangka dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelang November 2026.

Menurut Dzulkefly, inisiatif berkenaan dilaksanakan menerusi pindaan kepada Peraturan-Peraturan Makanan 1985 bagi membantu pengguna membuat pilihan makanan dan minuman yang lebih sihat.

Beliau menjawab perkara itu ketika mengulas soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai pendekatan menyeluruh KKM dalam menangani penyakit tidak berjangkit (NCD).

Sumber: BERNAMA/Dakwat Rakyat Post