TAWAU: Polis berjaya mengesan semula sebuah motosikal Yamaha 135LC V2 yang dilaporkan hilang dari kawasan pejabat Jabatan Air Bahagian Tawau, Jalan Kuhara, sebelum menahan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an dalam operasi di kawasan sama, semalam.
Lebih mencurigakan, pemeriksaan mendapati nombor enjin dan casis motosikal berkenaan dipercayai telah diganggu, sekali gus mencetuskan siasatan lanjut pihak polis.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek ditahan kira-kira jam 3.30 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama Strike Team Balai Polis Tawau.

Menurutnya, operasi itu dijalankan di sebuah rumah kebun di Jalan Kuhara, Tawau.
Selain motosikal berkenaan, polis turut merampas beberapa komponen kenderaan, termasuk sebuah lengan ayun (swing arm) dan ekzos motosikal untuk membantu siasatan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati motosikal jenis Yamaha 135LC itu mempunyai nombor enjin serta nombor casis yang telah diganggu,” katanya.
Rosdi berkata, kehilangan motosikal jenis Yamaha 135LC V2 itu disedari pemiliknya pada 2 November lalu kira-kira jam 10 pagi ketika berada di Pejabat Jabatan Air Bahagian Tawau untuk menjalankan tugas harian.
Motosikal yang diletakkan di garaj belakang pejabat berkenaan dipercayai dicuri oleh individu tidak dikenali, menyebabkan pemiliknya mengalami kerugian dianggarkan RM4,000.
Dalam perkembangan sama, pemeriksaan terhadap suspek mendapati lelaki berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan mencuri kenderaan bermotor serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Rosdi berkata, polis akan terus mempergiat usaha membanteras jenayah harta benda dan mengambil tindakan terhadap individu yang didapati terbabit dalam kegiatan jenayah.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memastikan kenderaan diletakkan di kawasan selamat serta mengambil langkah pencegahan awal bagi mengurangkan risiko menjadi sasaran penjenayah.